Pocophone adalah definisi baru telefon pintar berkuasa tinggi yang murah

Beberapa minggu lepas, Mi Malaysia melancarkan telefon pintar Mi A2 berkuasa Android One untuk pasaran Malaysia. Minggu ini, mereka datang mengejut membawakan flagship Mi 8 pula. Tetapi terdapat khabar angin yang mengatakan akan datang satu lagi peranti Xiaomi serba baru ke Malaysia.

Pocophone, satu jenama di bawah Xiaomi akan melancarkan telefon pintar baru mereka, Poco F1. Majlis pelancaran pertamanya akan diadakan di India, pada 22 Ogos 2018.

Poco F1 dimaklumkan akan memiliki kelengkapan berkuasa tinggi, dengan harga jualan yang sangat rendah. Walaupun belum dilancarkan, maklumat tentangnya telah banyak terdedah.

Paling penting, Poco F1 dikuasakan cip pemproses Snapdragon 845 dan menggunakan sistem penyejukan cecair. Ia memiliki dwi-kamera bersama pengimbas capjari di belakang. Baterinya sebesar 4,000mAh dan menyokong pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui USB-C.

Yang menariknya, telefon pintar Pocophone telah dikesan dalam pengkalan data SIRIM, bersama Mi 8. Ia menggunakan nombor model M1805E10A, dan memiliki WiFi 802.11ac, Bluetooth, GPS dan dwi-sim.

Tedapat satu video buka kotak Poco F1 telah terdapat di internet. Tontonnya di bawah ini.

Dari video tersebut, kita dapat melihat Poco F1 menggunakan badan diperbuat dari plastik. Dijangkakan, harganya akan lebih rendah dari Mi 8, yang dijual pada harga RM1,599 dengan storan 64GB.

Adakah anda berminat dengan Poco F1 dan sanggup menunggunya tiba? Kalau tak sabar, anda masih boleh mendapatkan Mi 8 yang merupakan telefon pintar berkuasa Snapdragon 845 paling murah di Malaysia sekarang.