Logitech G Pro Wireless tetikus gaming yang penuhi keperluan pemain profesional

Logitech G, sebuah jenama khusus untuk memenuhi keperluan gaming, hari ini mengumumkan tetikus Logitech G Pro Wireless, yang pertama dilengkapi teknologi sensor tercanggih, Logitech G HERO 16K.

Direka khusus untuk permainan profesional tahap tertinggi, sensor Logitech G HERO (High Efficiency Rated Optical – Optikal Berkadar Kecepakan Tinggi ) 16K memiliki tahap pengesanan yang pantas, tepat dan responsif. Ia mengatasi sensor generasi sebelumnya, berkebolehan mengesan sepantas 400 IPS dengan ketepatan sehingga 16,000 DPI.

Tetikus ini juga dibina dengan teknologi wayarles Logitech G LIGHTSPEED untuk sambungan tanpa lengah berprestasi tinggi. Dengan kadar laporan 1ms dan dioptimasikan dari hujung ke hujung, ia adalah sambungan wayarles yang aktif digunakan dalam pertandingan oleh profesional terkemuka.

Logitech G Pro Wireless adalah tetikus yang sangat ringan, dengan berat badan hanya 80gram sahaja. Ia dicapai dengan rekaan unik endoskeleton serta dinding senipis 1mm tetapi tahan lasak.

Ini membolehkan bateri lebih besar dipasang untuk jangka hayat lebih panjang. Ia juga serasi dengan pad tetikus Logitech G POWERPLAY Wireless, membolehkan pengecasan infiniti tanpa mengganggu permainan. Tanpa pad ini, baterinya boleh bertahan untuk penggunaan sehingga 48 jam.

Tetikus ini juga direka ambidextrous, bermakna sesuai digunakan untuk tangan kiri atau kanan. Ia turut memiliki butang di sisi kiri dan kanan untuk kawalan tambahan.

Untuk lebih memeriahkan permainan, lampu LIGHTSYNC RGB terbina di dalamnya dan boleh dikawal warna-warni menerusi perisian Logitech Gaming Software (LGS). Perisian ini juga membolehkan pelbagai tetapan untuk tetikus dibuat.

Tetikus Logitech G Pro Wireless kini telah dijual di Malaysia dengan harga RM699, bersama jaminan selama 2-tahun. Logitech turut menyatakan versi berwayar Logitech G PRO dikemaskini dengan sensor Logitech G HERO 16K dan dijual pada harga RM329.

BACA  Intel Manfaatkan Kecerdasan Buatan Untuk Jaringan Keselamatan Dunia Perkapalan

Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Logitech G Pro. Lawati juga Facebook Logitech Malaysia untuk berita terkini.