Lenovo Legion tampil dengan 6 model komputer gaming baru

Kemeriahan arena gaming di seluruh dunia membuatkan Lenovo terus aktif untuk menghasilkan laptop dan desktop khusus buat gaming, di bawah jenama Legion. Hari ini Lenovo mengumumkan barisan komputer Legion serba baru, menerusi tiga siri iaitu Legion Laptop, Legion Tower dan Legion Cube.

Sebanyak enam model diumumkan hari ini iaitu:

  1. Legion Y530 Laptop
  2. Legion Y730 Laptop
  3. Legion C530 Cube
  4. Legion C730 Cube
  5. Legion T530 Tower
  6. Legion T730 Tower

Laptop Legion Y530 dan Legion Y730 membawakan rekaan ala industri, tidak kelihatan seperti laptop gaming yang biasa. Ia juga bermaksud rekaannya lebih nipis, ringan dan tahan lasak. Pelbagai pilihan perkakas boleh dibuat untuk memenuhi keperluan gaming dan bajet pengguna.

Antaranya ialah cip pemproses Intel Core i5 atau Core i7 generasi ke-8, kad grafik NVIDIA GeForce GTX1050 Ti, RAM DDR4 sehingga 16GB, serta storan SSD hingga 512GB.

Sebagai laptop gaming, pengguna juga boleh memilih paparan dengan kadar segar semula sehingga 144Hz, dalam saiz 15.6-inci HD Penuh. Sistem bunyi pula boleh dipasang dengan speaker Harman serta teknologi Dolby Atmos dan Dolby Sound Radar, pertama seumpamanya di laptop.

Komputer Legion C530 Cube dan Legion C730 Cube pula adalah komputer kompak tetapi berkuasa tinggi bagi mereka yang mahu menjimatkan ruang. Rekaan casisnya lebih ringan berbanding model sebelum ini.

Pilihan perkakas pula pelbagai, dari cip pemproses Intel Core i3, i5 dan i7 generasi ke-8, kad grafik NVIDIA GeForce GTX atau AMD Radeon RX, RAM DDR4 sehingga 32GB dan gabungan storan SSD dan HDD.

Bagi yang mahu kuasa tertinggi, Lenovo menyediakan Legion T530 Tower dan Legion T730 Tower. Komputer desktop bersaiz penuh ini memiliki ruang casis sebesar 28 Liter. Ia diserikan lagi dengan cermin sisi dan lampu dalaman yang meriah.

BACA  Qualcomm Lancar Cipset Wi-Fi Dengan Capaian Melebihi 10Gbps

Lenovo akan mula menjual hanya laptop Legion Y530 bermula September depan, dengan harga dari RM3,599 dan ke atas, bergantung kepada pilihan spesifikasi. Ia boleh dalam talian di Stor Lenovo Malaysia serta dari pengedar sah Lenovo di seluruh Malaysia.

Manakala komputer Legion C530 Cube, Legion T530 Tower, Legion C730 Cube, Legion T730 Tower dan laptop Legion Y730 akan berada di pasaran Malaysia pada penghujung tahun 2018.