Nama Pocophone F1 kini sedang marak seperti kebakaran musim kemarau. Mana taknya, ia menggegarkan seluruh ekosistem telefon pintar baik habitat flagship mahupun midrange kerana secara ringkasnya ia adalah flagship dengan harga midrange! Kalau anda masih ingat OnePlus One, Pocophone F1 seakan mereplikasikan fenomena itu.
Terdapat beberapa perkara yang tak masuk akal tentang Pocophone F1 yang berjaya kami garap. Ini adalah empat daripadanya:
1. Harga Tak Masuk Akal
Di atas kertas, Pocophone F1 adalah telefon berspesifikasi flagship 2018 yang termurah boleh anda beli di Malaysia. Pada harga bermula RM1,299 memang tak masuk akal tanda harga yang dimilikinya.
Jom kita bandingkan apakah telefon selain Pocophone F1 yang boleh anda dapat sekitar RM1,300
- ASUS ZenFone Max Pro M1 (Snapdragon 660, RAM 6GB, storan 64GB) – RM 999
- honor Play (Kirin 970, RAM 4GB, storan 64GB) – RM1,250
- Xiaomi Mi A2 (Snapdragon 660, RAM 6GB, storan 128GB) – RM 1,199
- ASUS ZenFone 5Z (Snapdragon 845, RAM 6GB, storan 128GB) – RM1,899
- Xiaomi Mi 8 (Snapdragon 845, RAM 6GB, storan 64GB) – RM1,599
Jika tiada Pocophone F1, pada harga sekitar itu, anda hanya mampu beroleh telefon dengan Snapdragon 660 sahaja. Memang tak mustahil untuk dapatkan telefon flagship seperti honor Play untuk harga itu. Tapi, mengapa gaming dengan Kirin 970 sedangkan Snapdragon 845 lebih berupaya?
Tambahan pula, calon Snapdragon 845 seterusnya yang terhampir adalah Mi 8 yang berjarak RM400.
2. Bateri Tak Masuk Akal
Dalam kalangan telefon Snabdragon 845, Pocophone F1 miliki bateri yang terbesar iaitu 4,000mAh, menyamai sebuah Galaxy Note9 yang berharga serendah RM3,699.
Rakan kami yang sedang memandu uji Galaxy Note9 beroleh tempoh penggunaan seperti di bawah.
Cuba bayangkan apa yang bateri 4,000mAh boleh lakukan pada telefon tanpa segala macam bloatware seperti yang ada pada Note9.
3. Audio Tak Masuk Akal
Jika jek audio 3.5mm adalah seekor haiwan, ia boleh diibaratkan seperti Harimau Siberia. Mereka ini ada dalam senarai merah IUCN yang terancam kepupusan.
Terima kasih kepada Apple, dalam habitat Android, bilangan telefon flagship yang masih kekalkan jek audio cumalah:
- honor 10
- honor Play
- Asus ZenFone 5Z
- Samsung Galaxy Note9
Tapi Pocophone F1 hadir menggayakan jek audio pada bahagian atas telefon ini. Jadi anda boleh bermain dan mengecas dalam masa yang sama tanpa perlu dongle.
Bukan itu saja, konfigurasi pseudostereo speaker ada pada telefon ini. Pseudo dalam konteks ini bermaksud bunyi yang keluar pada kedua-dua speaker tidak sama rata kerana salah satu speakernya adalah bukan loudspeaker dan menggalas fungsi lebih kepada menghasilkan bunyi bass.
4. Storan Tak Masuk Akal
Pocophone F1 boleh dibeli dalam konfigurasi storan 64GB ataupun 128GB. Jika masih tidak mencukupi, ia boleh diperluas menggunakan kad mikro-SD untuk anda menyimpan segala macam gambar dan video tanpa menyentuh storan dalaman. Hal ini kerana, storan dalaman lebih baik digunakan untuk menyimpan fail-fail gaming agar akses lebih pantas boleh diberikan kepada CPU untuk fail-fail tersebut.
Antara tiga telefon flagship termurah dalam pasaran ketika ini (honor Play, ZenFone 5z, dan Mi 8), ZenFone 5z dan honor Play memiliki slot mikro-SD hibrid. Masalahnya dengan ZenFone 5z adalah baterinya yang agak sederhana iaitu 3,300mAh berbanding 4,000mAh yang ada pada Pocophone F1.
honor Play dilihat boleh bersaing dalam hal ini, ia memiliki bateri yang agak besar 3,750mAh serta slot kad hibrid yang boleh memuatkan kad mikro-SD.
Kompromi Yang Harus Berlaku
Tiada produk yang sempurna dan Pocophone F1 tidak terkecuali. Walaupun dinyatakan dengan jelas telefon ini ditujukan untuk gaming seperti ZenFone Max Pro M1 dan honor Play, lihat saja pada spesifkasi teknikalnya mereka boleh meneka yang ia amat sesuai untuk tugasan berat. Maka, pengguna perlu memahami terdapat beberapa perkara yang terpaksa dilepaskan dan pengguna harus beradaptasi dan hidup tanpa perkara-perkara itu.
Antara yang ketara adalah:
- Binaan tidak sepremium flagship lain.
Ia rasa seakan flagship 2015-2016 semasa materi kaca masih lagi asing kepada pengeluar. Tapi ia tidak merencatkan rupa telefon ini kerana plastik polikarbonat memiliki kelebihannya yang tersendiri seperti lebih fleksibel dan tidak mudah kotor berbanding kaca - Tiada NFC dan penembak IR.
Dalam Galaxy Note9, terdapat komponen NFC yang digunakan untuk Samsung Pay. Begitu juga dengan Mi 8 dan ZenFone 5z. Tetapi selain Samsung Pay, NFC adalah sesuatu yang niche untuk digunakan di Malaysia. IR Blaster pula bukanlah sesuatu dalam kategori darurat jika tiada. Malah saya sendiri tak pernah gunakannya walaupun ada. - Tidak kalis air.
Kita berjaya menempuhi era demi era menggunakan telefon tanpa kekalisan air. Lain-lah jika anda seorang yang melakukan perkara ekstrim, untuk kehidupan seharian, jutaan telefon mid-range yang tiada kekalisan air berlegar-legar disekeliling anda tanpa masalah. Ini turut saya rasakan ia adalah satu keperluan yang niche.
Bila boleh beli?
Pocophone F1 adalah sebuah telefon yang memiliki paparan 6.18″ beresolusi HD+ Penuh. Pada bahagian kamera, ia menggunakan konfigurasi dwikamera belakang yang dikuasakan sensor 12MP dan 5MP untuk mengukur kedalaman medan.
Swafoto pula diambil menggunakan kamera 20MP dengan teknologi pencantikan AI.
Ia hadir dalam dua variasi dan harganya berbeza selepas implementasi SST kelak. Harganya adalah seperti berikut:
- RAM 6GB, storan 64GB – RM 1,237 (RM 1,299 bermula 10 September 2018)
- RAM 6GB, storan 128GB – RM 1,428 (RM1,499 bermula 10 September 2018)
Telefon ini akan mula dijual bermula 30 Ogos 2018 dan 200 pembeli terawal akan menerima hadiah Mi Sports Bluetooth Earphones bernilai RM93 dan sebuah pemegang telefon.