POCOPHONE F1 pecah rekod harga peranti Snapdragon 845 termurah di Malaysia

Selepas menggegarkan India minggu lepas, POCOPHONE, sebuah jenama baru di bawah Xiaomi mengadakan majlis pelancaran di Jakarta, Indonesia. Bersama pelancaran itu, POCOPHONE turut mengumumkan penjualannya di Malaysia, seawal minggu ini.

Khas sebelum cukai SST mula dilaksanakan pada bulan September nanti, orang ramai boleh membeli POCOPHONE F1 pada harga RM1,237 sahaja. Ini adalah tanda harga paling murah untuk peranti yang dikuasakan cip Snapdragon 845.

POCOPHONE F1 akan mula dijual di Malaysia pada hari Khamis ini, 30 Ogos 2018. Terdapat dua versi akan dijual, storan 64GB akan dijual secara eksklusif di Lazada manakala storan 128GB boleh dibeli di Mi Stores dan juga Lazada.

Tetapi selepas 10 September, harga POCOPHONE F1 akan naik 5% kerana cukai SST. Harga sebelum dan selepas SST adalah seperti berikut:

POCOPHONE F1Harga sebelum 10 SeptemberHarga selepas 10 September
64GBRM1,237RM1,299
128GBRM1,428 RM1,499

Sayangnya, Malaysia tidak menerima POCOPHONE F1 Armoured Edition yang turut dilancarkan untuk pasaran Indonesia, selepas diumumkan dijual di India. Mungkin ia akan dibawa ke Malaysia di kemudian hari. Untuk rujukan, Armoured Edition dijual di Indonesia pada harga IDR 5.199.000 (~RM1,457) dan memiliki 6GB RAM dan 128GB storan.

Bagi menyambut ketibaan POCOPHONE F1 di Malaysia, Xiaomi akan mengadakan promosi istimewa di Mi Store Mid Valley Megamall pada 30 Ogos 2018. 200 pembeli terawal akan menerima hadiah percuma berupa fon kepala Bluetooth Mi Sports (bernilai RM93) dan games holder.

POCOPHONE F1 dikuasakan cip terbaik di pasaran masakini, Snapdragon 845 berkelajuan sehingga 2.8Ghz, dan dipasang teknologi LiquidCool iaitu sistem penyejukan cecair yang lebih baik dari biasa. RAM pula dari jenis LPDDR4X sebanyak 6GB. Untuk storan, ia menggunakan cip UFS2.1 dengan saiz dari 64GB dan 128GB. POCOPHONE F1 memiliki slot kad hibrid, yang menyokong dua kad sim serentak, atau 1 kad sim dan 1 kad mikroSD.

BACA  Satu hari sahaja jualan Super Xiaomi di Lazada

Kamera utamanya memiliki dwi-lensa dengan lensa pertama 12MP F1.9 bersama autofokus dwi-piksel yang pantas serta saiz piksel 1.4-mikron yang sangat besar. Lensa kedua pula 5MP F2.0 untuk menangkap tahap kedalaman dan menghasilkan gambar bokeh. Kamera ini memiliki teknologi penstabil imej elektronik (EIS) untuk rakaman video yang stabil, tetapi tiada penstabil imej optikal (OIS).

Bagi kamera hadapan, ia menggunakan lensa 20MP dengan piksel bersaiz 2.0-mikron yang menggunakan teknologi SuperPiksel 4-dalam-1. POCOPHONE F1 turut disertakan pemancar infra merah untuk pengecaman wajah walau di dalam gelap, di samping pengimbas capjari yang dipasang di belakang telefon.

Skrin POCOPHONE F1 seluas 6.18-inci dengan resolusi HD Penuh+ dalam nisbah 18.7:9. Ia memiliki takuk di atas skrin tetapi mempunyai pilihan untuk dipadamkan jika mahu ruang dahi skrin yang rata.

Bateri POCOPHONE F1 agak besar, berkapasiti 4,000mAh dan menyokong pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui sambungan USB-C. Malah, ia masih memiliki port audio 3.5mm yang terletak di atas, satu lagi kelebihan buat Poco F1.