Poco F1 mahu jadi raja kepantasan yang mampu dimiliki ramai

Hampir sebulan dipromosikan di alam maya oleh Xiaomi, akhirnya Poco F1 telah selamat dilancarkan. Poco F1 dihasilkan oleh Poco, sebuah jenama baru di bawah Xiaomi untuk menghasilkan telefon pintar berkuasa tinggi yang lebih murah. Sedikit sebanyak, bunyinya macam OnePlus.

Malah tidak salah juga nak dikatakan, Poco F1 adalah lebih baik dari Mi 8 bukan sahaja kerana memiliki kuasa yang sama hebat pada harga lebih rendah, tetapi Poco F1 memiliki beberapa perkara yang tiada pada Mi 8 sendiri. Kita lihat pada persamaannya dahulu.

Poco F1 dikuasakan cip terbaik di pasaran masakini, Snapdragon 845 berkelajuan sehingga 2.8Ghz, dan dipasang teknologi LiquidCool iaitu sistem penyejukan cecair yang lebih baik dari biasa. RAM pula dari jenis LPDDR4X dengan pilihan antara 6GB dan 8GB. Untuk storan, ia menggunakan cip UFS2.1 dengan saiz dari 64GB, 128GB hingga 256GB.

Poco F1 memiliki slot kad hibrid, yang menyokong dua kad sim serentak, atau 1 kad sim dan 1 kad mikroSD. Ini adalah perkara yang tidak terdapat di Mi 8.

Sayang sekali ia tidak menggunakan kamera seperti di Mi 8, tetapi masih agak baik. Di belakang, ia menggunakan kamera dwi-lensa dengan lensa pertamanya 12MP F1.9 dengan autofokus dwi-piksel yang pantas serta saiz piksel 1.4-mikron yang sangat besar. Lensa kedua pula 5MP F2.0 untuk menangkap tahap kedalaman dan menghasilkan gambar bokeh serta potret yang menawan. Kamera ini memiliki teknologi penstabil imej elektronik (EIS) untuk rakaman video yang stabil, tetapi tiada penstabil imej optikal (OIS).

Bagi kamera hadapan, ia menggunakan lensa 20MP dengan piksel bersaiz 2.0-mikron yang menggunakan teknologi SuperPiksel 4-dalam-1. Poco F1 turut disertakan pemancar infra merah untuk pengecaman wajah walau di dalam gelap, di samping pengimbas capjari yang dipasang di belakang telefon.

BACA  Black Shark Helo boleh dibeli di Malaysia serendah RM2,198

Skrin Poco F1 seluas 6.18-inci dengan resolusi HD Penuh+ dalam nisbah 18.7:9. Ia memiliki takuk di atas skrin tetapi mempunyai pilihan untuk dipadamkan jika mahu ruang dahi skrin yang rata.

Bateri Poco F1 jauh lebih besar dari Mi 8, berkapasiti 4,000mAh dan menyokong pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui sambungan USB-C. Malah, ia masih memiliki port audio 3.5mm yang terletak di atas, satu lagi kelebihan buat Poco F1.

Poco F1 akan menggunakan sistem operasi MIUI yang diubahsuai khas agar lebih serasi.

Pocophone ditawarkan dalam tiga warna biasa iaitu Hitam, Biru dan Merah dalam badan plastik polikarbonat. Terdapat satu edisi khas yang dipanggil Armoured Edition, dengan badannya diperbuat dari Kevlar yang jauh lebih teguh dari besi.

Poco F1 dilancarkan di India dalam tiga versi RAM dan storan dengan harga seperti berikut:

  • RAM 6GB + Storan 64GB – Rs 20,999 (~RM1,230)
  • RAM 6GB + Storan 128GB – Rs 23,999 (~RM1,406)
  • RAM 8GB + Storan 256GB – Rs 28,999 (~RM1,699)
  • RAM 8GB + Storan 256GB Armoured EditionRs 29,999 (~RM1,758)

Selepas India, Poco telah memaklumkan akan melancarkan Poco F1 di tiga lagi lokasi pada 27 Ogos akan datang iaitu Jakarta, Hong Kong dan Paris. Sedikit sebanyak, ini menandakan kehadirannya di rantau Asia Tenggara. Untuk maklumat lanjut, semak laman produk Poco F1 India.

Dijangka Poco F1 akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat memandangkan kehadirannya telah dikesan di pengkalan data SIRIM pada awal bulan ini, dan telah menerima pengiktirafan untuk digunakan di Malaysia. Yang mana lebih anda gemari, Mi 8 atau Poco F1?