Headfon Untuk Travel Sony Yang Terbaik Kini Lebih Baik

Sony WH-1000X adalah siri headfon yang dikhaskan untuk anda yang sentiasa mengembara dan pada masa yang sama perlukan bunyi-bunyian untuk jadi halwa telinga semasa bergerak. Ia menjadi buah mulut ramai dek teknologi penyaring hingar aktif (ANC) yang amat baik disamping kualiti binaannya yang utuh.

Selepas WH-1000XM2, kini mereka mengumumkan kemas kini terbaru headfon itu dengan WH-1000XM3 di IFA 2018, Berlin, Jerman.

Antara yang dikekalkan pada headfon ini adalah penggunaan pemacu bunyi daripada jenis neodymium sebesar 40mm serta tempoh penggunaan sehingga 30 jam dengan sekali cas penuh. Selain dua perkara diatas, segala-galanya tentang headfon ini menerima tambah baik.

Misalnya, pada bahagian bateri, ia kini boleh dicas pantas melalui port USB-C. 10 minit cas memberikan waktu penggunaan sehingga 5 jam lamanya.

Pada bahagian ANC, ia menyaring hingar dengan lebih baik dengan konfigurasi mikrofon yang baru. Sebanyak 3 mini mikrofon hadir disekeliling salah satu earcup-nya untuk mengesan hingar.

Lebih menarik, kini tugasan menyaring hingar dikendalikan oleh pemproses khas dan tidak lagi menumpang cip pemproses bunyi.

Masih tidak menyisihkan terus DNA ketika di Mark 2, WH-1000XM3 masih mengekalkan cara guna seperti sebelumnya. Jadi tiada masalah akan dihadapi pengguna yang ingin naik taraf dairpada M2 kepada M3 seperti kawalan bunyi menggunakan sentuhan dan sebagainya.

Di US, headfon ini dijual pada harga USD 350 (RM 1,443). Untuk rujukan generasi ke-2 headfon ini sedang dijual di Malaysia pada harga RM1,508.49.

Layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.

BACA  3 Manfaat Yang Dibawa Oleh CPU Qualcomm Terbaru Untuk Wearable Anda