Kuala Lumpur hentian pertama Dota 2 Major 2018/2019

The Kuala Lumpur Major, kini adalah salah satu pertandingan bagi Dota Pro Circuit (DPC) dan merupakan pertandingan pertama bagi DPC musim 2018/2019. Ia dianjurkan oleh eGG Network bersama PGL dan Imba TV.

The Kuala Lumpur Major akan diadakan pada 16 – 18 November 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Hadiah terkumpul adalah sebanyak USD1 juta (~RM4.15 juta) untuk direbut oleh 16 pasukan profesional antarabangsa dari seluruh dunia.

Penglibatan Kuala Lumpur sebagai salah satu pusingan Major adalah penting sebagai pemangkin e-sukan di Malaysia. Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XIX) akan mempromosikan e-sukan dalam bentuk demonstrasi tiga tajuk permainan iaitu FIFA, Pro Evolution Soccer & Mobile Legends: Bang Bang. Malaysia harus bersedia memandangkan Majlis Olimpik Asia (OCA) telah mengiktiraf e-sukan dan ia bakal disenaraikan pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Pertandingan The Kuala Lumpur Major disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan, serta Majlis Sukan Negara. Penajanya pula ialah U Mobile, HyperX, KFC dan Acer Predator. Manakala rakan rasmi adalah Secretlab, Thermaltake, Astro, ERA, Hitz dan GoXuan.

Tiket masuk untuk menonton pertandingan ini selama 3 hari akan mula dijual pada 1 Oktober 2018. Tetapi jualan awal akan dibuat seawal hari ini, dari 6-16 September 2018 bagi pengguna U Mobile dengan diskaun 20%. Pengguna Astro pula boleh mendapatkannya dari 11-16 September 2018, juga 20% diskaun. Jualan awal tiket dengan diskaun 10% untuk semua akan dibuka dari 17-30 September 2018.

Sebanyak tiga jenis tiket akan dijual. Tiket Ancient (RM180) memberi akses ke tempat duduk terbuka di bahagian atas. Tiket Divine (RM330) pula memberi akses ke tempat terbuka di bahagian bawah, cabutan bertuah dan harga istimewa untuk membeli kerusi gaming Secret Lab.

BACA  GoPro Hero7 Sedia Ditempah Untuk Peminat Di Malaysia

Tiket paling mahal, Immortal (RM600) menyediakan kerusi khas di bahagian bawah untuk pemandangan terbaik, beg hadiah bernilai RM150 dengan pelbagai hadiah, cabutan bertuah, laluan keutamaan untuk berjumpa dan bersapa dengan pasukan yang bertanding, serta keutamaan untuk membeli kerusi gaming Secret Lab pada harga istimewa.

Untuk maklumat lanjut tentang pertandingan serta pembelian tiket, layari laman web www.thekualalumpurmajor.com.