Samsung lancar telefon pintar pertama dengan tiga lensa kamera belakang

Samsung hari ini mengumumkan Galaxy A7 versi 2018, model terbaru dari siri Galaxy A mereka. Ia adalah telefon pintar pertama Samsung yang dipasang dengan tiga lensa kamera belakang dan satu lensa kamera hadapan.

Kamera belakang Galaxy A7 (2018) yang baru ini merupakan gabungan lensa 24MP F1.7, lensa ultra-lebar 120-darjah 8MP F2.4, serta lensa ketiga pengesan kedalaman 5MP F2.2. Kamera ini memiliki teknologi canggih di Galaxy Note9 seperti Live Focus untuk efek bokeh, dan juga Scene Optimiser yang mengubahsuai gambar menjadi lebih menarik secara pintar.

Kamera hadapannya menggunakan lensa 24MP dengan fokus tetap, bersama LED Flash boleh ubah. Penggunaannya lebih menarik dengan fungsi seperti swafoto boleh menggunakan Selfie Focus, mod Pro Lighting untuk tangkapan seperti di studio gambar, serta AR EMoji dan pelbagai penapis untuk gambar lebih kreatif.

Skrin Galaxy A7 (2018) menggunakan paparan Super AMOLED, berukuran 6.0-inci dalam nisbah 18:9 dan resolusi HD Penuh+ (2220×1080). Samsung masih kekal tidak mengenakan takuk pada telefon pintar mereka.

Kuasa terasnya diuruskan oleh cip pemproses 8-teras 2.2Ghz, yang tidak pula dinyatakan dari jenis apa. Mungkin datang dalam dua versi, Snapdragon dan Exynos dan Malaysia kebiasannya akan menerima versi Exynos. RAM datang dalam pilihan 4GB atau 6GB, dan storan dalaman ditawarkan antara 64GB dan 128GB.

Badan belakang peranti ini diperbuat dari kaca, dan tiada pengimbas capjari di depan dan belakang. Ini kerana pengimbas capjari terletak di sisi, ditanam di dalam butang kuasa. Samsung berkongsi gambar Galaxy A7 (2018) dalam empat warna iaitu merah jambu, hitam, biru dan emas.

Galaxy A7 (2018) datang bersama pembantu peribadi Bixby, sokongan e-dompet Samsung Pay serta aplikasi kecergasan Samsung Health. Bateri sebesar 3,300mAh dimuatkan di dalamnya, dan ia kelihatan masih memiliki port audio 3.5mm di bawah. Sistem operasi berasaskan Android 8.0 Oreo menjadi tunjang penggerak, bermakna masih tiada Android 9.0 Pie di peranti Samsung.

BACA  Samsung Exynos 9820 ditambah kuasa AI, modem 2Gbps dan rakaman video 8K

Samsung memaklumkan, Galaxy A7 (2018) akan mula berada di pasaran terpilih di Eropah dan Asia pada bulan hadapan. Tetapi adakah ia disekalikan dengan acara A Galaxy Event yang akan berlangsung pada 11 Oktober kelak? Ini kerana Samsung membawakan tema 4x Fun untuk acara ini, dan ia boleh dikatakan merujuk kepada 4 kamera seperti yang ada pada Galaxy A7 (2018) ini.

Adakah akan muncul telefon pintar lain dilancarkan pada 11 Oktober nanti? Kita tunggu dan lihat sementara menantikan pengumuman tarikh dan harga jualan Galaxy A7 (2018) tidak lama lagi.

[Sumber: Samsung]