Pengguna Apple boleh memandu lebih selamat dengan Google Maps dan Waze di Carplay

Salah satu fungsi baru yang diterapkan ke dalam sistem operasi iOS 12 adalah sokongan pemetaan pihak ketiga. Antara yang mendapat manfaat dari kemaskini ini adalah sistem hiburan dalam kenderaan, Apple Carplay.

Google dan anak syarikatnya Waze, mengumumkan sistem navigasi mereka kini boleh digunakan sepenuhnya dengan Apple Carplay. Kedua-dua sistem navigasi Google Maps dan Waze di Carplay memberikan pengalaman penggunaan dan fungsi yang sama seperti yang terdapat di telefon pintar.

Dengan Google Maps, pengguna Carplay boleh memantau trafik masa nyata dan melihat jalan alternatif untuk dilalui. Ia juga boleh digunakan tanpa sambungan internet, dengan memuat turun peta sebelum memulakan perjalanan.

Untuk mula menggunakan navigasi Google Maps di Apple Carplay, pastikan iPhone telah dikemaskini ke iOS 12 dan aplikasi Google Maps pula dikemaskini ke versi 5. Sayangnya anda tidak boleh mendapatkan bantuan Siri di dalam Google Maps di Carplay.

Bagi penggemar Waze, ubahsuai paparan seperti jenis kereta dan membuat laporan trafik jika terdapat kereta rosak di tepi jalan, kini turut disokong di Carplay. Dengan satu butang sahaja, ia boleh menetapkan navigasi ke rumah, tempat kerja dan lokasi kegemaran yang disimpan lebih awal.

Semua navigasi ini kini boleh digunakan dengan lebih mudah di dalam kenderaan, hasil integrasi Carplay. Tidak perlu lagi bersusah payah memegang telefon untuk membuat tetapan dan mendengar arahan, kerana ia boleh dikawal dari stereng pemandu dan didengari lebih jelas melalui sistem audio kenderaan.

BACA  Harga mengancam untuk tempahan awal iPhone Xs di Malaysia

Pastikan iPhone anda dikemas kini ke iOS 12 serta muat turun aplikasi terkini Google Maps dan Waze yang mahu digunakan.

[Sumber: Waze, Google Maps]