Galaxy Watch bergred tentera muncul di Malaysia awal Oktober

Semasa Galaxy Note9 dilancarkan di New York awal bulan lepas, ia diiringi jam pintar terbaru Samsung Galaxy Watch. Tetapi ketibaannya di Malaysia tidak bersekali. Hari ini, Samsung Malaysia mengumumkan akan mula menjual Galaxy Watch bermula awal Oktober depan.

Jam pintar Galaxy Watch akan mula dijual di Malaysia pada 5 Oktober 2018 dan Samsung Malaysia mahu meraikan ketibaannya dengan membuat tempahan awal, pada 1-4 Oktober 2018. Sudah pasti, tempahan awal ini diberikan sedikit keistimewaan iaitu percuma tali jam tambahan bernilai RM109.

Terdapat dua saiz Galaxy Watch dan tiga warna iaitu:

  • Galaxy Watch 42mm Midnight Black – RM1,199 
  • Galaxy Watch 42mm Rose Gold – RM1,199
  • Galaxy Watch 46mm Silver – RM1,299

Hadiah percuma untuk tempahan awal Galaxy Watch pula berbeza mengikut warna dan saiz muka jam iaitu:

  • Galaxy Watch 42mm Midnight Black – percuma tali warna Tan
  • Galaxy Watch 42mm Rose Gold – percuma tali warna PhoneBox
  • Galaxy Watch 46mm Silver – percuma tali warna Brown atau Navy Blue

Antara ciri-ciri baru Galaxy Watch yang dipertingkat dari model sebelumnya, adalah seperti daya tahan bateri yang lebih lama. Galaxy Watch 46mm dimaklumkan boleh bertahan sehingga 80 jam (~3 hari) untuk penggunaan biasa. Manakala Galaxy Watch 42mm pula sehingga 45 jam (~2 hari).

Selain itu, Galaxy Watch yang baru ini tahan lebih lasak dengan pengiktirafan ketenteraan MIL-STD-810G, tahan tekanan sehingga 5ATM serta kalis air dan debu IP68.

Skrinnya menggunakan kaca Corning Gorilla DX+, dari paparan Super AMOLED berukuran 1.3-inci untuk saiz muka 46mm, dan 1.2-inci bagi 42mm. Kuasa dalamannya digerakkan oleh cip Exynos 9110, bersama RAM sebanyak 768MB dan storan dalaman 4GB.

BACA  Galaxy S10 dengan Exynos 9820 ditemui berkuasa tinggi di Antutu

Jam pintar ini menjalankan sistem operasi Tizen Wearable OS 4.0 buatan Samsung sendiri, dan ia boleh berhubung secara Bluetooth dan WiFi dengan peranti pintar berasaskan Android 5.0 ke atas dan iOS 9.0 ke atas.

Sudah pasti pelbagai fungsi kecergasan terdapat di Galaxy Watch ini, yang diperkasa oleh ekosistem Samsung Galaxy seperti Samsung Health, Samsung Bixby dan Samsung Pay. Selain tahap kecergasan, kualiti tidur dan pemantau makanan, Samsung turut menambah fungsi baru pengurusan pemantau tahap tekanan minda.

Kepada yang berminat untuk membeli Galaxy Watch ini dalam tempoh promosi dari 1-4 Oktober 2018, boleh mengunjungi laman web tempahan awal Galaxy Watch Malaysia. Maklumat lanjut tentang peranti pintar ini turut boleh didapati di sana.