LG akan tampil dengan telefon penta-kamera esok

LG dilaporkan akan melancarkan telefon pintar terbaru mereka, LG V40 ThinQ pada 3 Oktober 2018. Mereka juga telah berkongsi beberapa maklumat berkaitannya menerusi satu video di YouTube.

Menerusi video ini, LG memperkatakan tentang Lima (Penta) dan Tiga. Kita juga dapat melihat dengan jelas, LG V40 ThinQ memiliki tiga kamera belakang yang disusun secara melintang. Sudah pasti, ini merujuk kepada Tiga.

Tetapi bagaimana pula dengan Lima? Ia tidak diperlihatkan dengan jelas tetapi dijangka merujuk kepada dua lagi kamera hadapan. Tiga kamera belakang dan dua kamera hadapan, bermakna lima kamera pada LG V40 ThinQ.

Penerangan lima kamera ini dikongsikan oleh Evan Blass di twitternya. Menurut beliau, tiga kamera belakang adalah gabungan lensa standard, lensa sudut lebar dan lensa telefoto. Manakala dua kamera hadapan pula ialah lensa standard dan lensa sudut lebar.

Dalam satu berita lain pula, Roland Quandt berkongsi maklumat yang ditemui di laman Geekbench. Satu ujian benchmark berkaitan LG V40 ThinQ ditemui di situ yang memiliki beberapa info seperti ia menggunakan cip Snapdragon 845, RAM sebanyak 6GB dan sistem operasi Android 8.1 Oreo.

Lima kamera dan perkakas berkuasa tinggi adalah sesuatu yang sememangnya patut ada untuk telefon pintar flagship, tetapi penggunaan Android 8.1 Oreo agak mengecewakan. Diharap ia bukanlah rasmi dan dalam pelancaran esok ia diumumkan datang dengan Android 9.0 Pie.

Segala maklumat rasmi akan kita perolehi esok di majlis pelancarannya. Cuma, kalau boleh LG Malaysia berusaha lebih sikit untuk membawanya ke pasaran Malaysia.