Lambakan Kandungan Original Buatkan Ramai Yang Kembali Melanun

Satu kajian yang menarik telah diterbitkan oleh Sandvine. Dokumen yang bertajuk Global Internet Phenomena Report itu membincangkan keadaan trafik Internet dunia untuk 2018.

Antara dapatan yang menarik daripada dokumen itu adalah peningkatan trafik Torrent yang selama ini menunjukkan pola penurunan yang mendadak.

Berikut adalah 5 trend Internet untuk tahun 2018 menurut kajian Sandvine.

1. Lebih 57% Daripada Pecahan Trafik Internet Global Adalah Video

Dengan kebanjiran servis-servis penstriman serta kebangkitan arena e-sukan seluruh dunia, tidaklah menghairankan video adalah sebahagian besar, atau lebih tepat 57.69% trafik downstream Internet dunia.

Trafik jenis ini disumbang oleh IPTV contohnya seperti unifi TV, iflix, viu, YouTube, Twitch, dan sebagainya.

Baki lebih kurang 43% trafik downstream Internet adalah dari sumber seperti berikut:

  • web
  • gaming
  • sosial
  • gedung digital (AppStore/PlayStore)
  • perkongsian fail
  • permesejan
  • VPN
  • storan awan
  • penstriman audio.

2. Netflix Bukanlah Servis Penstriman Popular Di Rantau Asia Pasifik

Untuk rantau Asia Pasifik, servis penstriman Netflix tidak memberi impak sehebat servis generik yang lain.

Yang dimaksudkan servis generik adalah seperti:

  • IPTV (unifi TV, ASTRO)
  • viu
  • iflix
  • dimsum dan sebagainya.

Facebook video dan Instagram turut berada dalam kalangan 10 penyumbang trafik Internet di rantau Asia Pasifik.

3. Torrent Sumbang Paling Banyak Trafik Upstream

Seperti di rantau EMEA, APAC juga turut menyaksikan trafik Torrent yang tinggi. Terdapat beberapa spekulasi yang digubah untuk menerangkan situasi itu. Yang paling berkemungkinan adalah disebabkan kandungan daripada benua Amerika yang lambat tiba.

Contoh yang paling terkenal adalah Game of Thrones, kelewatan penyiaran satu episod walau hanya satu hari menyebabkan ia dikongsi secara haram di Torrent.

Sebab itu banyak penyedia perkhidmatan strim mempromosikan fungsi “Same day in US“. Ia memberitahu penonton yang sesuatu episod itu ditayangkan kurang 24 jam selepas tayangan perdana di A.S.

BACA  Gambaran lebih jelas ZenFone Max Pro M2 tersebar

Satu lagi punca adalah terdapat terlalu banyak kandungan eksklusif pada platform. Kalau anda dah ada Netflix, takkanlah anda nak melanggan iflix untuk menonton KL Gangster: Underworld bukan?

4. Lebih 40% Trafik Internet APAC Ada Kaitan Dengan Google

Google sedikit demi sedikit menjadi Internet. Mana taknya, hampir separuh daripada trafik Internet dunia ada kaitan dengannya. Google Search bersama-sama ribuan produk Google yang lain menyumbang pada 14.75% daripada jumlah itu.

Kehadiran Google tidak terhad pada itu saja. YouTube turut menyumbang 12.72% trafik manakala bakinya adalah daripada servis-servis seperti:

  • DoubleClick (1.96%)
  • Permesejan
  • Crashlytics
  • Gmail
  • Google Docs
  • Google Play

5. Trafik Media Sosial, Gaming, dan Penstriman Audio Kian Mendominasi

Trafik video global tidak menunjukan sebarang tanda untuk menyusut dan saya rasakan ia akan terus meningkat pada kadar eksponensial lebih-lebih lagi apabila pembangun kandungan membanjirkan pasaran dengan kandungan 4K.

Salah satu dapatan yang menarik adalah laman web penstriman Openload yang turut muncul selaku 10 teratas. Ia mengukuhkan bahawa pengguna sudah muak dengan kandungan original servis penstriman.

Untuk pasaran APAC, trafik gaming juga menunjukkan peningkatan ketara. Permainan paling banyak menyumbang pada trafik di APAC adalah PUBG dengan 27.03%. Empat games kemudian adalah seperti:

  • Fortnite (23.45%)
  • Overwatch (22.55%)
  • League of Legends (13.80%)
  • Clash of Clans (9.18%)

Harus tidak dilupakan juga adalah trafik daripada penyedia rangkaian permainan seprti PSN, Xbox Live, Steam, dan Nintendo Online.

Pada sudut media sosial, bilangan pengguna tidak mencerminkan trafik Internet yang disumbangnya. Contohnya, trafik daripada Facebook tidak setinggi Instagram. Mereka masing-masing mencatatkan 28.93% dan 53.42% trafik downstream.

Cetak rompak muzik boleh dikatakan mati dengan ketibaan Spotify. Saya hanya perlu membayar RM22.40/bulan untuk satu akaun keluarga dan berkongsinya dengan 5 rakan yang lain. Jadi kos muzik saya hanyalah RM3.73/bulan. HTTP Audio Streaming adalah himpunan penstriman video daripada servis lain yang mungkin tak berapa terkenal seperti JOOX dan Yonder.

BACA  Diskaun RM300 untuk BlackBerry KEYone dan KEY2

Baca laporan penuh di sini.