Realme 2 Pro menggugat pasaran telefon pintar mampu milik

Hari ini, Realme mengumumkan secara rasmi ketibaannya ke pasaran Asia Tenggara. Ia adalah jenama yang dicipta OPPO untuk pasaran peranti yang lebih murah dan berbaloi untuk dimiliki. Sedikit sebanyak, ia adalah pesaing buat Xiaomi dan honor yang sudah sekian lama bertapak di pasaran ini.

Realme memulakan langkah pertamanya di Asia Tenggara dengan memilih Indonesia sebagai pasaran pertama. Sebanyak tiga model dilancarkan hari ini iaitu Realme 2, Realme 2 Pro dan Realme C1.

Realme C1 adalah peranti kelas permulaan, diikuti dengan Realme 2 yang bersaing dalam kelas permulaan ke pertengahan, dan Realme 2 Pro yang sesuai diletakkan dalam kelas pertengahan.

Realme C1

Telefon kelas permulaan ini dilihat boleh menggoncang dunia kategorinya. Ia boleh dilihat dari tawaran yang diberikan seperti CPU Snapdragon 450, RAM 2GB, storan dalaman 16GB dan menerima kad mikroSD sehingga 256GB.

Tapi perkara yang lebih menarik adalah skrin besarnya berukuran 6.2-inci dalam nisbah 19:9. Resolusinya HD+ (1520×720) dengan takuk di dahi. Ia juga memiliki bateri mega 4,230mAh, dijangka boleh bertahan hingga 2 hari untuk penggunaan biasa.

Lagi kelebihan yang ada pada Realme C1 adalah dwi kamera belakang, 13MP+2MP F2.2 yang jarang ada pada julat harganya. Untuk kamera hadapan ia dipasang lensa 5MP F2.2. Cuma sayang, ia tiada pengimbas capjari. Jika tidak, sememangnya satu telefon pintar masakini yang lengkap.

Sebagai anak lahiran OPPO, Realme C1 menjalankan sistem operasi ColorOS 5.1 berasaskan Android 8.1 Oreo. Menjadikan ia lebih unik, adalah kemasan belakang yang berkilauan, dalam dua pilihan warna iaitu Biru dan Hitam.

Telefon pintar Realme C1 akan mula dijual di Indonesia pada harga IDR1.499.900 (~RM408). Tetapi ia akan ditawarkan dengan harga pengenalan IDR1.399.00 (RM380) sahaja.

BACA  TIME Hadir Dengan Broadband 100Mbps Termurah Dalam Kalangan ISP

Jika Realme C1 boleh dijual di Malaysia dengan harga sebegini, ia boleh memberi saingan sengit buat Xiaomi Redmi 6A (RM419), honor 7s (RM379) dan ASUS Zenfone Live L1 (RM399).

Realme 2

Peranti ini boleh dikatakan bintang utama pelancaran, kerana ramai yang memperkatakan tentangnya sebelum ini. Ditambah kemasan belakang ibarat kilauan berlian, Realme 2 tampil menarik perhatian dengan tiga warna menawan iaitu Hitam, Merah dan Biru.

Sebenarnya, Realme 2 adalah Realme C1 dengan sedikit naik taraf. Persamannya adalah seperti skrin 6.2-inci 19:9 dan resolusi HD+ (1520×720) bersama takuk di dahi. Baterinya juga 4,230mAh.

Tenaga dalamannya diuruskan oleh cip pemproses Snapdragon 450. Tetapi Realme ditawarkan dengan RAM dan storan lebih besar dari Realme C2. Samada gandingan RAM 3GB dan storan 32GB, atau RAM 4GB dan storan 64GB. Kad memori mikroSD diterima sehingga 256GB.

Untuk kamera, ia memiliki persamaan di belakang kerana menggunakan dwi-lensa 13MP+2MP F2.2, tetapi berbeza dengan kamera hadapan yang dilengkapi lensa 8MP F2.2. Perbezaan paling ketara dari luar ialah pengimbas capjari, di mana ia terletak di belakang badan Realme 2.

Realme 2 akan dijual di Indonesia pada harga IDR1,999,000 (~RM544) untuk RAM 3GB dan storan 32GB, serta IDR2,399,000 (~RM653) bagi RAM 4GB dan storan 64GB.

Sebagai kelas permulaan ke pertengahan, saingan Realme 2 adalah seperti Redmi Note 5 dan ASUS Zenfone Max Pro M1. Tetapi spesifikasinya agak ketinggalan dari kedua model tadi, dengan harga yang lebih murah. Bukan bandingan yang tepat.

Realme 2 Pro

Tampil sebagai peranti terhebat keluaran Realme, Realme 2 Pro adalah satu peranti yang sangat menarik. Ia diperkasa cip Snapdragon 660 AIE, RAM LPDDR4X dan storan UFS2.1 dengan tiga konfigurasi:

  • RAM 4GB + Storan 64GB – IDR2.899.000 (~RM816)
  • RAM 6GB + Storan 64GB – IDR3.299.000 (~RM898)
  • RAM 8GB + Storan 128GB – IDR3.699.000 (~RM1,006)
BACA  Adakah ini harga rasmi iPhone XS, XS Max dan XR di Malaysia?

Harganya sangat kompetitif, menyamai apa yang ditawarkan Redmi Note5 dan ASUS Zenfone Max Pro M1. Malah, model 8GB RAM dan storan 128GB adalah yang termurah dalam pasaran kini. Kelihatan yang pertama seumpamanya untuk kelas pertengahan.

Rupa luar Realme 2 Pro sangat mirip dengan OPPO F9. Dengan skrin bertakuk titisan air, atau dipanggil Realme sebagai Dewdrop Full Screen. Ia berukuran 6.3-inci dengan resolusi HD Penuh+ (2340×1080). Bingkainya sangat nipis, kerana ia memiliki nisbah skrin-ke-badan sebanyak 90.8%.

Pengimbas capjari terletak di belakang. Ia terletak di bawah dwi-lensa kamera belakang, gabungan lensa 16MP F1.7 dan lensa 2MP F2.2 untuk tangkapan kesan bokeh. Autofokus dwi-piksel yang super pantas dan penstabil imej elektronik (EIS) menambah kehebatan kamera ini.

Untuk kamera depan, ia dipasang lensa 16MP F2.0 yang dikuasakan fungsi AI beautification. Ia turut digunakan sebagai sistem pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin.

Baterinya mungkin tidak besar sangat, tetapi kapasiti 3,500mAh masih lebih dari biasa. Telefon ini memiliki tiga slot kad untuk memuatkan dua kad sim nano dan satu kad mikroSD serentak. Sistem operasinya ColorOS 5.2 berasaskan Android 8.1 Oreo.

Menarik tak apa yang terdapat di Realme 2 Pro ini? Jika harganya di Malaysia tidak jauh dari kadar tukaran seperi di atas, maka ia sememangnya pilihan lebih baik dari Redmi Note5 dan ASUS Zenfone Max Pro M1.

Masalahnya sekarang, kita masih belum diberitahu bilakan ia akan tiba di Malaysia. Harapnya secepat mungkin dengan harga menarik seperti di atas.

Sementara itu, untuk maklumat lanjut boleh layari laman produk Realme C1, Realme 2 dan Realme 2 Pro.