Tiada naik taraf automatik, pelanggan Maxis Home Fibre perlu pilih

Selepas pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) seperti yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh, antara penyedia perkhidmatan internet yang memperkenalkan pelan internet dengan kelajuan lebih pantas pada harga lebih rendah ialah Maxis. Semuanya dikemaskini menjadi hanya dua pelan baru, iaitu Maxis Home Fibre 30Mbps dan 100Mbps.

Apa jadi pula dengan pelanggan Maxis Home Fibre sedia ada? Menurut Maxis, naik taraf tidak akan dilakukan secara automatik. Maka pengguna sedia ada akan kekal dengan harga pelan lama dan kelajuan yang lama. Jika tiada sebarang tindakan diambil.

Tambah Maxis, mereka tidak membuat naik taraf ini secara automatik kerana ingin memberi pilihan kepada pengguna. Contohnya pengguna pelan 30Mbps sebelum ini dicas RM139 sebulan, tetapi pelan baru 30Mbps hanyalah RM89.

Jadi, Maxis mengambil langkah untuk memberi pilihan kepada pengguna. Samada untuk berubah ke pelan 100Mbps RM129 sebulan atau ke pelan 30Mbps RM89 sebulan. Untuk ini, Maxis telah bertindak pro aktif dengan berhubung kepada pelanggan bagi menerangkan tentang pelan baru dan pilihan naik taraf.

Kepada pelanggan yang tidak menerima sebarang perhubungan dari Maxis, anda boleh berhubung sendiri dengan Maxis untuk memilih pelan baru yang diingini. Sebarang naik taraf pelan ini adalah percuma, tanpa sebarang kos tambahan.

TETAPI, pelanggan yang mahu menukar router mereka kepada model baru, akan dikontrak semula selama 24 bulan. Ini kerana router lama tidak dapat memberi kelajuan penuh 100Mbps.

Bagi memastikan naik taraf yang lebih lancar, Maxis telah melancarkan program Fibrenation Box Swap di mana lebih kurang 600 kakitangan Maxis mengambil bahagian melawat 1,500 rumah dan syarikat. Dalam lawatan ini, kakitangan Maxis akan membantu pelanggan menaik taraf router dan WiFi untuk pengalaman internet lebih baik.

BACA  Laptop sejari Huawei dijadual tiba di Malaysia bulan ini

Kakitangan Maxis ini akan disertai Maxperts, pasukan pakar internet Maxis bagi menukar router Wi-Fi band tunggal kepada router dwi-band (2.4GHz & 5GHz) yang mampu memaksimakan kelajuan Wi-Fi.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web Maxis Fibrenation.