Bertempat di kota London, Huawei Global hari ini melancarkan telefon pintar pertama mereka berkuasa Kirin 980, iaitu Huawei Mate 20 dan Huawei Mate 20 Pro. Walaupun berkongsi nama, sebenarnya ia jauh berbeza. Persamaan utamanya ialah penggunaan cip pemproses Kirin 980.
Walaupun kedua-dua telefon pintar ini dipasang tiga lensa kamera belakang seperti Huawei P20 Pro, tetapi ia memiliki spesifikasi yang berbeza. Sudah pasti, versi Pro memiliki lebih banyak kelebihan.
Mate 20
Dengan skrin besar 6.5-inci, ia tidak kelihatan janggal walaupun bertakuk kerana takuknya amat kecil, dalam rupa titisan air seperti di OPPO F9. Skrin ini menggunakan paparan LCD RGBW, dalam nisbah 18.7:9 dan resolusi HD Penuh+ 2240×1080.
Kemasan belakang Mate 20 bertekstur titik kecil, dikatakan untuk memberi genggaman yang lebih baik dan tidak licin. Berkonsepkan rekaan simetri, Huawei menyusun tiga kamera belakang bersama satu LED Flash dalam kotak segiempat sama. Ditambah dengan pengimbas capjari di bawahnya.
Tiga kamera belakang Mate 20 berbeza dengan P20 Pro. Masih lagi bekerjasama dengan Leica, kali ini lensa monokrom tidak lagi kelihatan. Sebaliknya tiga lensa kali ini ialah:
- Lensa sudut lebar 120° 12MP F1.8
- Lensa biasa 16MP F2.2
- Lensa telefoto 2x zum 8MP F2.4
Penggunaan lensa ini hampir sama dengan Galaxy A9 (2018), tanpa lensa keempat pengesan tahap kedalaman. Untuk kamera hadapan, ia menggunakan sensor 24MP F2.0.
Dikuasakan cip pemproses Kirin 980 terbaru, Mate 20 datang dengan pilihan RAM 4GB atau 6GB. Storan hanya 128GB tetapi boleh diluaskan dengan kad memori NM, format baru kad memori yang bersaiz kad sim nano.
Siri Mate memang terkenal dengan bateri yang tahan lama. Di Mate 20, bateri 4,000mAh dipasang dan datang bersama pengecas Huawei Supercharge 40W. Ia boleh mengecas 70% penuh dalam masa 30 minit.
Sistem bunyi stereo digunakan pada Huawei Mate 20. Jek audio 3.5mm juga masih ada. Satu berita sedih, telefon ini tidak kalis air dan debu.
Huawei Mate 20 akan datang dalam dua warna, Hitam dan Biru. Harga jualannya tadi diumumkan dalam Euro, pastinya lebih rendah bila tiba di Malaysia.
- 4GB/128GB – €799 (~RM3,837)
- 6GB/128GB – €849 (~RM4,077)
Mate 20 Pro
Skrin Mate 20 Pro berbeza dengan adiknya Mate 20. Walaupun sedikit kecil pada saiz 6.4-inci, resolusinya jauh lebih tinggi pada tahap QuadHD+ 3210×1440.
Takuknya juga sangat besar, dengan nisbah paparan 19.5:9. Selain kamera hadapan, takuk ini menyimpan pengesan wajah 3D yang boleh digunakan membuka kunci skrin. Skrin ini juga melengkung di sisi, dari hadapan ke belakang.
Susunan kamera empat segi sama terdapat di belakang, tetapi tanpa pengimbas cap jari. Ini kerana ia menggunakan pengimbas cap jari di dalam skrin, seperti di Huawei Mate RS Porsche Design.
Mate 20 Pro menggunakan lensa kamera belakang yang berbeza dari Mate 20. Lensa tersebut ialah:
- Lensa lebar 27mm 40MP F1.8
- Lensa ultra lebar 16mm 20MP F2.2
- Lensa telefoto 80mm 2x zum 8MP F2.4
Cip Kirin 980 menjadi tunjang kuasa Mate 20 Pro dan dimuatkan RAM 6GB. Storannya sebesar 128GB dan menggunakan kad memori NM untuk storan tambahan.
Bateri 4,200mAh terdapat di dalam Mate 20 Pro. Bukan sahaja ia disertakan pengecas Huawei Supercharge 40W, ia turut menyokong pengecasan wayarles pantas 15W.
Lebih canggih lagi, Mate 20 Pro boleh mengecas peranti lain yang menyokong pengecasan wayarles Qi, juga secara wayarles. Contohnya, letak iPhone X di belakang Mate 20 Pro dan ia akan dicas secara wayarles.
Sistem bunyi stereo juga terdapat di Mate 20 Pro tetapi jek audio tiada, seperti di Mate 10 Pro lepas. Berita baik, ia kalis air dan debu dengan tahap lebih tinggi, IP68.
Harga Mate 20 Pro melompat jauh lebih tinggi kerana Mate 10 Pro semasa dilancarkan hanyalah €799. Di sini ia diumumkan berharga €1,049 (~RM5,038) dengan RAM 6GB & storan 128GB yang sama seperti Mate 10 Pro. Mungkin teknologi pengecas wayarles tu mahal sangat.
Kedua-dua Mate 20 dan Mate 20 Pro mula berada di pasaran Eropah pada hari ini, 16 Oktober 2018. Tarikh jualan di Malaysia masih belum diketahui, tapi pastinya tidak lama lagi. Kami anggarkan pada bulan Oktober ini juga.