Qualcomm Lancar Cipset Wi-Fi Dengan Capaian Melebihi 10Gbps

Kelengkapan Wi-Fi yang sedang anda gunakan di rumah masa ini berkemungkinan besar dilengkapi dengan Wi-Fi AC. Secara teori, ia mampu memberikan sambungan sehingga 1.3Gbps lajunya. Tapi Qualcomm hari ini hadir dengan cipset untuk Wi-Fi generasi seterusnya yang digelar mereka 802.11ay. Ia mampu berikan kelajuan sekurang-kurangnya 10Gbps ataupun lebih 7 kali ganda lebih pantas berbanding Wi-Fi ac.

Semuanya dimungkinkan dengan penggunaan spektrum radio berfrekuensi tinggi iaitu 60GHz berbanding Wi-Fi AC yang menggunakan 5GHz. Spektrum setinggi ini masih belum dieksploitasi secara mendalam dan memberikan beberapa manfaat, selain kelajuan tinggi, seperti:

  • kurang inteferens daripada gelombang radio yang lain
  • lantensi yang superrendah

Walau bagaimanapun, hukum fizik tidak boleh dilawan. Menggunakan frekuensi supertinggi, kadar cakupannya akan nyata berkurangan seperti yang dirasai apabila anda gunakan Wi-Fi 2.4Ghz dengan Wi-Fi 5Ghz.

Virtual Reality dijangka beroleh manfaat daripada 802.11ay

Oleh sebab itu, teknologi Wi-Fi 60GHz ini dikhususkan hanya untuk sambungan dalam ruangan tertutup seperti bilik. Peralatan yang pastinya beroleh manfaat daripada Wi-Fi 10GBps adalah seperti VR/AR ataupun penstriman paparan ke TV.

Contoh produk yang sudahpun menggunakan Wi-Fi jenis ini adalah ASUS WiGig Dock. Menggunakan dock tersebut, paparan ROG Phone disalurkan kepada TV secara wayarles dengan sela masa cuma 20ms, sesuatu yang tidak mungkin berlaku sebelum ini.

Adakah Wi-Fi ini akan hadir pada router anda tak lama lagi tidak pula diketahui.

[Sumber: Qualcomm]

BACA  Apple makin agresif buat cip sendiri, buka pejabat di tepi Qualcomm