Realme akan datang ke Malaysia mencabar takhta raja telefon kelas pertengahan

Jika anda belum pernah mendengar nama Realme, anda harus mula mengambil perhatian sekarang. Realme, sebuah jenama yang dihasilkan OPPO akan tiba tidak lama lagi di Malaysia.

Realme boleh diletakkan sebaris dengan Xiaomi dan honor, menjual peranti berkuasa dengan harga lebih murah dari biasa.

Kejayaan Realme boleh dilihat semasa ia dilancarkan di India dan Indonesia. Di India, 200,000 unit siri Realme 2 terjual dalam masa 5 minit. Manakala di Indonesia, sebanyak 15,000 unit habis dijual dalam masa 10 minit. Ini menunujukkan minat orang ramai terhadapnya.

Pelancaran Realme di Indonesia

Xiaomi dan honor memang harus berjaga-jaga dengan ketibaan jenama Realme ke Malaysia. Sebanyak 3 model baru diperkenalkan di Indonesia awal bulan ini dan dijangka akan dibawa masuk ke Malaysia.

Model pertama ialah Realme C1 dengan harga bermula dari IDR1.499.900 (~RM408) sahaja. Ia dikuasakan cip Snapdragon 450, RAM 2GB dan storan 16GB. Tarikan lainnya seperti skrin 6.2-inci 19:9, bateri besar 4,230mAh dan dwi-kamera belakang 13MP+2MP.

Model kedua ialah Realme 2 dengan saiz badan, skrin, bateri dan dwi-kamera belakang yang sama dengan Realme C1, tetapi memiliki kemasan belakang dengan efek berlian serta pengimbas capjari. Ia juga ditawarkan dengan RAM dan storan lebih besar, berharga IDR1,999,000 (~RM544) untuk RAM 3GB dan storan 32GB, serta IDR2,399,000 (~RM653) bagi RAM 4GB dan storan 64GB.

Model ketiga dan terbaik yang dimiliki Realme ialah Realme 2 Pro. Ia adalah peranti yang jauh berbeza dari dua model tadi. Kuasa dalamannya digerakkan oleh cip Snapdragon 660 AIE, RAM LPDDR4X dan storan UFS2.1 dengan tiga konfigurasi:

  • RAM 4GB + Storan 64GB – IDR2.899.000 (~RM816)
  • RAM 6GB + Storan 64GB – IDR3.299.000 (~RM898)
  • RAM 8GB + Storan 128GB – IDR3.699.000 (~RM1,006)
BACA  Harga unifi 100Mbps kekal tidak berubah selepas 24 bulan

Kuasa seperti ini meletakkannya sebaris dengan Redmi Note 6 Pro, honor 8X dan ASUS Zenfone Max Pro M1. Lebih baik lagi, ia juga datang dengan RAM besar 8GB bersama storan 128GB, dengan harga yang boleh menyaingi honor 8X yang memiliki 4GB RAM dan 128GB storan(RM949).

Rupa luar Realme 2 Pro sangat mirip dengan OPPO F9. Dengan skrin bertakuk titisan air, atau dipanggil Realme sebagai Dewdrop Full Screen. Ia berukuran 6.3-inci dengan resolusi HD Penuh+ (2340×1080). Bingkainya sangat nipis, kerana ia memiliki nisbah skrin-ke-badan sebanyak 90.8%.

Pengimbas capjari terletak di belakang. Ia terletak di bawah dwi-lensa kamera belakang, gabungan lensa 16MP F1.7 dan lensa 2MP F2.2 untuk tangkapan kesan bokeh. Autofokus dwi-piksel yang super pantas dan penstabil imej elektronik (EIS) menambah kehebatan kamera ini.

Untuk kamera depan, ia dipasang lensa 16MP F2.0 yang dikuasakan fungsi AI beautification. Ia turut digunakan sebagai sistem pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin. Baterinya hanya 3,500mAh dan dicas melalui port mikroUSB.

Realme Malaysia memaklumkan peranti mereka akan mula berada di pasaran Malaysia dalam beberapa minggu lagi. Adakah tawaran Realme ini menarik minat anda untuk menagguhkan pembelian telefon pintar baru dan menunggu ketibaannya?

Nantikan pengumuman rasmi dan maklumat lanjut menerusi Facebook Realme Malaysia dan Instagram Realme Malaysia.