Fitbit Charge 3 boleh pantau aktiviti kecergasan seperti berenang dan tidur

Hari ini 8 November 2018, secara rasmiya gelang kecergasan Fitbit Charge 3 mula dijual di Malaysia. Malaysia antara negara terawal gelang kecergasan terbaru dari Fitbit ini boleh dibeli.

Fitbit Charge 3 dijual pada harga RM728 dengan tali getah dalam dua warna pilihan, tali hitam dengan badan berwarna kelabu, atau tali biru kelabu dengan badan berwarna emas ros. Aksesori berupa tali jam yang boleh diganti sendiri dijual pada harga antara RM120 ke RM230. Lazada merupakan salah satu penjual Fitbit Charge 3 di platform online.

Jika mahu kelainan, Fitbit Malaysia juga ada menjual Charge 3 Special Edition, pada harga RM838. Terdapat dua jenis edisi khas ini, pertama dengan tali kain dengan badan berwarna emas ros. Kedua ialah tali getah putih dengan banyak lubang dan badan berwarna kelabu.

Rupanya agak sama, tetapi Fitbit Charge 3 memiliki banyak pembaharuan berbanding Charge 2. Charge 3 kini dinaik taraf dengan fungsi baru seperti kalis air sehingga 50 meter dalam dan boleh dibawa berenang, ketahanan bateri sehingga 7 hari serta teknologi algoritma dan sensor tercanggih ciptaan Fitbit.

Teknologi pengesan denyutan nadi 24/7 Fitbit, PurePulse kini dipertingkat ketepatannya agar aktiviti kecergasan boleh dipantau dengan lebih tepat. Ia turut boleh mengira kalori yang dibakar dan kadar degupan jantung waktu rehat untuk workout yang lebih optimum, serta mengesan sebarang ketidak seimbangan dalam kesihatan diri.

Fitbit juga menambah sensor SpO2, pertama di dalam gelang kecergasan Fitbit, memberi pengguna cara baru untuk memantau tahap oksigen di dalam darah serta waktu tidur yang lebih berkualiti. Tetapi ia masih belum diaktifkan kerana menunggu kelulusan pihak berkuasa.

Salah satu tarikan untuk menggunakan Fitbit ialah rangkaian sosial bersama rakan dan taulan yang luas di seluruh dunia, meliputi 25 juta pengguna aktif. Ini dapat memberi lebih motivasi kepada pengguna untuk mencapai sasaran kecergasan yang ditetapkan, menerusi pelbagai cabaran.

BACA  Fitbit Charge generasi ke-3 mula beraksi di Malaysia bulan ini

Selain digunakan secara aktif, Fitbit 3 juga akan mengingatkan pengguna secara pasif untuk sentiasa bergerak jika terlalu lama duduk, mengatur pernafasan untuk merasa lebih tenang, memantau waktu tidur bagi memberikan panduan tidur yang lebih berkualiti dan banyak lagi.

Sebagai peranti pintar, Fitbit Charge 3 boleh berhubung dengan telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android dan iOS. Ia boleh memaparkan notifikasi dari telefon, menjawab atau mematikan panggilan, serta membalas mesej mudah. Charge 3 juga dilengkapi fungsi jam biasa seperti penggera, timer dan cuaca.

Dapatkan lebih banyak maklumat berkenaan gelang kecergasan ini dengan melayari laman web Fitbit Charge 3.