Samsung Exynos 9820 ditambah kuasa AI, modem 2Gbps dan rakaman video 8K

Sebagai penggemar gajet, kita pasti sudah maklum tentang telefon pintar Samsung Galaxy S10 yang akan dilancarkan pada awal tahun depan. Salah satu pembaharuan yang akan dibawanya ialah cip pemproses baru yang lebih berkuasa, dan ia baru sahaja diperkenalkan oleh Samsung.

Cip Samsung Exynos 9820 adalah cip terbaru dari Samsung. Ia menggantikan kedudukan cip Exynos 9810 yang digunakan di dalam Galaxy S9 dan Note9, untuk menjadi cip paling berkuasa dihasilkan oleh Samsung.

Apakah pembaharuan yang ada di dalam Exynos 9820?

  • AI berkuasa NPU

Samsung kini menyertai pengeluar cip lain apabila mula menggunakan pemproses unit neural atau NPU untuk meningkatkan lagi prestasi kecerdasan pintar (AI). Beberapa ruang yang mendapat faedah dari NPU adalah seperti menangkap gambar dengan bantuan AI serta beberapa perkara lain.

  • 8-teras tri-kluster

Di bahagian cip pemproses, Exynos 9820 kini menggunakan gandingan tri-kluster 8-teras iaitu 2 teras cip rekaan khas generasi ke-4 berkuasa tinggi, 2-teras cip Cortex-A75 berprestasi optimum dan 4-teras cip Cortex-A55 yang jimat tenaga. Menurut Samsung, ia memberikan 20% lebih prestasi teras tunggal, 15% lebih prestasi teras pelbagai dan sehingga 40% lebih efisyen tenaga berbanding pemproses sebelumnya.

  • 8nm LPP FinFET

Penggunaan fabrikasi 8nm LPP FinFET yang lebih baharu juga menyumbang kepada penjimatan tenaga. Sehingga 10% kurang tenaga digunakan berbanding fabrikasi 10nm yang terdapat pada Exynos 9810.

  • GPU Mali-G76 MP12

Di bahagian grafik pula, Exynos 9820 kini ditemani cip Mali-G76 MP12. Ia menjanjikan sehingga 40% prestasi lebih tinggi dan 35% tenaga lebih efisyen berbanding cip Mali-G72 MP18 yang digunakan pada Exynos 9810.

  • Modem LTE-Advanced Pro Cat 20

Untuk rangkaian telekomunikasi, Exynos 9820 dimuatkan dengan modem LTE-Advanced Pro yang menyokong LTE Cat 20. Ini membolehkan ia mencapai kelajuan muat turun sehingga 2Gbps dengan 8x Carrier Aggregation, manakala kelajuan muat naik pula sehingga 316Mbps. Modem ini juga menyokong teknologi 4×4 MIMO dan 256 QAM.

  • Video 8K 30fps
BACA  Pengeluar casing dedah saiz sebenar skrin Galaxy S10

Merakam video pasti lebih menarik dengan Exynos 9820 kerana ia memiliki Codec Pelbagai Format (MPC) yang menyokong mengekod dan menyahkod video resolusi 8K 30fps. Ia juga boleh mengekod dan menyahkod video 4K UHD pada 150fps menggunakan format 10-bit HEVC (H.265).

Samsung dijangka akan memulakan penghasilan cip Exynos 9820 secara besar-besaran pada akhir tahun 2018, bagi mempersiapkan ketibaan telefon pintar Galaxy S10. Ia juga dijangka akan digunakan untuk telefon pintar Samsung boleh lipat yang dikhabarkan akan diperkenal pada bulan Mac 2019.

Sementara itu, boleh dapatkan maklumat lanjut berkenaan pemproses terbaru Samsung ini dengan melayari laman web Exynos 9820.