Apple makin agresif buat cip sendiri, buka pejabat di tepi Qualcomm

Apple sebelum ini mempunyai kes mahkamah yang belum selesai bersama pengeluar cip Qualcomm. Tetapi nampaknya Apple tidak akan menghentikan hasratnya untuk meluaskan lagi penghasilan cip mereka sendiri apabila mula mencari jurutera di San Diego, Amerika Syarikat. Tempat di mana ibu pejabat Qualcomm berada.

Langkah Apple ini dilihat mahu mencari jurutera dan pakar penghasil cip terutama berkaitan rangkaian, yang menjadi produk teras Qualcomm. Antara kepakaran yang diperlukan ialah LTE, Bluetooth dan 5G.

Komponen terpenting dalam produk Apple paling laris iaitu iPhone, ialah modem. Sejak 2011, Apple menggunakan modem buatan Qualcomm di iPhone. Tetapi pada tahun 2017, Apple mula mendapatkan sedikit khidmat modem Intel.

Ini membuatkan Qualcomm berang dan menyaman Apple kerana dikatakan tidak membayar royalti secukupnya, selain beberapa masalah berkaitan paten. Tahun ini, Apple berhenti menggunakan modem Qualcomm pada iPhone terbaru keluarannya.

Langkah Apple untuk menghasilkan cip sendiri boleh mengurangkas kos mereka, selain memberi lebih kebebasan dan kawalan terhadap cip yang diperlukan. Keinginan Apple ini dapat dilihat apabila mereka telah sedia membuka pejabat kajian di lokasi-lokasi berhampiran pengeluar cip terkemuka seperti:

  • Portland, Oregon (Intel)
  • Austin, Texas (AMD)
  • Orlando, Florida (AMD)
  • Haifa dan Herzliya, Israel (Intel)
  • Munich, Germany (Infineon Technologies AG)
  • Taipei, Taiwan (Pelbagai jenama elektronik)
  • Tokyo, Japan (Toshiba Corp.)

Pusat penghasilan cip utama Apple masih terletak di California, Amerika Syarikat. Sehingga kini, Apple telah menghasilkan sendiri cip seperti pemproses utama, pemproses grafik, komponen kawalan tenaga dan beberapa fungsi khas di komputer Mac.

Bloomberg News melaporkan, Apple akan menggantikam sepenuhnya cip pemproses Intel di komputer Mac, kepada cip mereka sendiri seawal tahun 2020.

BACA  Tanda Aras CPU Snapdragon Terhebat Muncul Di Antutu

[Sumber: Bloomberg]