Realme C1 mula dijual minggu ini dengan harga promosi

Realme, jenama yang baru meningkat naik di persada antarabangsa, telah mula bertapak di Malaysia dengan melancarkan 3 model iaitu Realme 2, Realme 2 Pro dan Realme C1. Realme 2 Pro telah mula dijual pada 11 November lepas, manakala Realme 2 dan Realme C1, akan mula dijual minggu ini.

Realme C1 adalah telefon pintar kelas permulaan, dengan harga sangat mampu dimiliki ramai. Diumumkan pada harga RM449 dengan 2GB RAM dan 16GB storan, ia akan dijual pada harga promosi RM399 di Lazada selama sebulan, dari 22 November hingga 22 Disember 2018.

Untuk menambah kemeriahannya, Realme turut menjemput orang ramai untuk mengikut Store Realme di Lazada dan menawarkan jualan Realme C1 lebih murah jika mencapai pengikut tertentu. Sebanyak 10 unit Realme C1 ditawarkan dengan harga mencecah RM1 jika Stor Realme di Lazada mencapai 10,000 pengikut.

Pada harga RM399, Realme C1 dilihat sebagai peranti yang terbaik dalam julat harganya. Ini kerana ia menggunakan cip pemproses Snapdragon 450, bersama 2GB RAM dan 16GB storan dalaman.

Selain itu, Realme C1 memiliki bateri besar 4,230mAh serta skrin besar 6.2-inci HD. Tetapi skrin ini bertakuk dalam nisbah 19:9.

Menambah lagi kelebihannya ialah dwi-kamera belakang, 13MP+2MP dengan kamera hadapan 5MP. Cuma ia tiada pengimbas capjari. Walaupun semua peranti pada harga ini tiada pengimbas capjari, pasti lebih lengkap Realme C1 sebagai peranti kelas permulaan terbaik jika ada pengimbas capjari.

Dari segi astetik, Realme C1 menggunakan kemasan plastik glossy di belakang untuk memberikan rupa seperti peranti premium. Terdapat dua warna disediakan, Biru dan Hitam.

Pada harga di bawah RM400, pesaing Realme C1 adalah seperti Xiaomi Redmi 6A, honor 7s dan ASUS Zenfone Live L1.

BACA  Tonton Livestream Pelancaran OPPO R17 Pro Dan Terima Hadian Bernilai RM389

Untuk yang berminat, jangan lupa untuk mengikut Store Realme di Lazada, dan dapatkannya pada harga promosi RM399 dari 22 November hingga 22 Disember 2018.

Share