fbpx

Harapan palsu Bitcoin merugikan pengeluar dan pengguna

Kegilaan melombong wangkripto (cryptocurrency) seperti Bitcoin dan Ethereum tahun lepas, membuatkan pengeluar perkakas elektronik menghasilkan edisi khas perkakas untuk melombong sahaja. Pengeluar dari Taiwan banyak menyertai gelombang ini, menghasilkan perkakas seperti kad grafik yang tiada paparan keluar, dan papan induk yang menyokong sehingga 20 kad grafik.

Papan induk yang menyokong sehingga 20 kad grafik

Apa tidaknya, harga Bitcoin mencecah USD20,000 (~RM83,000) pada bulan Disember tahun lepas. Pada waktu itu, stok kad grafik dan perkakas berkaitannya habis licin dari pasaran, kerana digunakan untuk melombong Bitcoin. Ditambah dengan cakap-cakap pakar yang mengatakan wangkripto akan memiliki permintaan yang tinggi tahun ini.

Tetapi ramalan itu ternyata meleset. Pada minggu ini, harga Bitcoin jatuh di bawah USD5,000 (~RM20,000), angka terendah untuk beberapa tahun sebelum ini. Ini mengakibatkan kerugian yang sangat besar di pihak pengeluar.

Nvidia pada awalnya, menganggarkan keuntungan USD100 juta pada suku kedua tahun ini hasil dari jualan perkakas berkaitan wangkripto. Tetapi laporan pada Ogos 2018 menyatakan, keuntungan mereka hanya sekitar USD18 juta sahaja. Perbezaan yang amat ketara ini membuatkan Nvidia mengambil keputusan untuk menghentikan terus penghasilan perkakas berkaitan wangkripto.

AMD selaku pengeluar cip grafik Radeon, dilihat masih berusaha mengiklankan produk berkaitan kriptowang, tetapi dari sudut berlainan. Mereka membuka satu laman khas berkaitan teknologi Blockchain yang menjadi tulang belakang kriptowang, dan menyatakan teknologi ini boleh digunakan lebih meluas di bidang lain seperti perubatan, kewangan, keselamatan dan banyak lagi.

Kerugian ini menghentak pengeluar dari Taiwan dengan lebih teruk. ASUS, Gigabyte dan MSI dilaporkan berhadapan dengan masalah lambakan kad grafik dan papan induk yang direka khas untuk melombong wangkripto.

BACA  Todak Duduki Tempat Ketiga Kejohanan Dunia MLBB

Kad grafik tanpa paparan keluar

ASUS melaporkan keuntungan berkurangan sebanyak 43% pada suku ketiga tahun ini, berbanding suku ketiga tahun lepas. Gigabyte pula merekodkan suku tahunan terendah sejak tahun 2008. Mungkin MSI tidak seteruk mereka, tetapi ia mencatatkan kerugian 6.6% pada suku ketiga setahun, berbanding masa yang sama tahun lepas (YoY).

Adakah anda turut sama terlibat dalam gelombang melombong kriptowang sebelum ini? Dah dapat semula kos pelaburan perkakas anda?

Kepada peminat games yang kecewa awal tahun ini, sekarang adalah masa yang bagus untuk anda membeli kad grafik. Khabarnya harga kad grafik pun menjunam sama. Tapi hati-hati dengan jualan kad grafik terpakai, ia mungkin telah digunakan ke had maksima untuk melombong sebelum ini.

[Sumber: TheNextWeb, PCMag]