fbpx

Fungsi baru Facebook perkenal gaya hidup digital lebih sihat

Gaya hidup moden masa kini membuatkan orang ramai sukar berenggang dengan telefon pintar. Terutama sekali di bandar dengan sambungan internet yang pantas, ramai yang lebih senang berhubung secara maya di media sosial.

Bagi memberi lebih keseimbangan hidup, Facebook telah melancarkan fungsi ‘Your Time on Facebook‘. Ia sebenarnya hanyalah menunjukkan berapa lama masa yang telah diluangkan di aplikasi mereka.

Buat masa ini, fungsi ini terdapat di aplikasi iOS sahaja. Ia boleh ditemui di bahagian Settings & Privacy, menerusi tiga garis di menu pilihan di bahagian bawah aplikasi Facebook.

Di dalamnya, Facebook memberitahu secara purata, berapa lama pengguna menghabiskan masa dengan aplikasi Facebook. Ia juga menunjukkan carta harian penggunaan aplikasi Facebook selama 7 hari.

Di situ juga, pengguna boleh menetapkan peringatan jika telah mencapai masa penggunaan yang telah ditetapkan. Bagaimanapun, ia hanya memberi peringatan. Tidak menghalang penggunaan walaupun melepasi yang ditetapkan.

Fungsi ini telah sedia ada di Instagram, satu lagi platform media sosial yang turut dimiliki oleh Facebook. Ia memberikan fungsi yang sama seperti di Facebook.

Seperti sebuah pemantau kecergasan anda yang mengesan berapa langkah atau selama mana waktu tidur anda, fungsi ‘Your Time on Facebook‘ boleh diibaratkan sebagai pemantau kecergasan digital. Ia mahu anda mengehadkan waktu di peranti dan lebih bersosial di alam nyata.

Adakah anda rasa fungsi ini boleh membantu anda berhadapan dengan gaya hidup digital yang lebih sihat?

[Sumber: 9to5mac]

BACA  Pemberian Kad SIM Percuma Di Tanjung Piai Jadi Tanda Tanya