Xiaomi dan IKEA umum kerjasama lebih pintar

Jika anda rakyat Malaysia yang sering berkira-kira membeli gajet yang murah, sudah pasti anda pernah memiliki produk Xiaomi. Produk Xiaomi tidak terhad kepada telefon pintar sahaja, malah ia merangkumi seluruh barangan di rumah seperti tv, fon kepala, cerek, periuk nasi, penapis udara, pembersih hampagas dan banyak lagi.

Kini Xiaomi mengumumkan kerjasama dengan pengeluar barangan rumah terkenal, IKEA untuk membolehkan produk pencahayaan pintar IKEA berhubung dengan platform Internet of Thing (IoT) Xiaomi. Ia adalah kerjasama pertama IKEA dengan syarikat teknologi dari China.

Beberapa produk pencahayaan pintar IKEA

Menurut pengasas, pengerusi dan CEO Xiaomi, Lei Jun menyatakan, sehingga 30 September, platform IoT Xiaomi telah menghubungkan lebih 132 juta peranti pintar (tidak termasuk telefon dan laptop) di lebih 200 negara di seluruh dunia. Pembantu pintar Xiaomi Xiao Ai pula telah diaktifkan di lebih 100 juta peranti dengan pengguna aktif melebihi 34 juta orang setiap bulan.

Kerjasama Xiaomi dan IKEA ini akan bermula di China pada bulan Disember depan. Pelbagai produk pencahayaan pintar IKEA akan boleh berhubung dengan platform IoT Xiaomi, sekaligus dikawal melalui produk Xiaomi seperti pembantu pintar Xiao Ai dan juga aplikasi Mi Home.

Pelbagai produk IoT IKEA

Lampu-lampu IKEA ini juga boleh dipadankan dengan pelbagai perati pintar Xiaomi seeperti sensor dan peralatan elektrik untuk kawalan pintar lebih menyeluruh. Produk pencahayaan ini akan berhubung dengan Mi Control Hub menerusi protokol ZigBee.

Selain kerjasama dengan IKEA, Xiaomi turut mengumumkan kerjasama lebih mendalam bersama Ji Hotel, CHJ Automotive dan Ikongjian, syarikat rekaan dalaman. Ia membabitkan pelbagai produk pintar IoT Xiaomi digunakan dalam pelbagai perkara.

BACA  Kamera Mi 8 Explorer Edition terima kemaskini Google Night Sight

Xiaomi akan melabur sebanyak RMB100 juta (~RM60.27 juta) ke dalam Dana Pembangunan AIoT Xiaomi yang akan digunakan untuk menyokong pembangun AI, pembuat perkakas dan syarikat teknologi AI. Sebelum ini, Xiaomi telah berjaya menghubungkan lebih 1,000 produk pihak ketiga ke platform IoT Xiaomi. Untuk maklumat lanjut tentang ini, boleh layari laman web Pembangun IoT Xiaomi.

[Sumber: Xiaomi]