fbpx

Siaran digital MYTV pulih selepas bertemu TM dan SKMM

Siaran Digital MYTV yang mengalami gangguan siaran sejak awal bulan Oktober lepas, dilaporkan telah pulih. Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh.

Menurut Gobind, gangguan siaran MYTV ini berpunca dari beberapa isu komersial di antara pihak MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) dan Telekom Malaysia (TM).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengadakan perbincangan bersama MYTV dan TM beberapa minggu lepas. Kedua-dua pihak telah bersetuju dengan penyelesaian berhubung isu komersial yang dihadapi.

Sebelum ini, sebanyak 20 lokasi pemancar MYTV di Malaysia telah ditutup kerana isu bayaran antara MYTV dan TM. Ia menjejaskan siaran digital MYTV di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak. MYTV kemudiannya meminta kerjasama SKMM untuk menyelesaikan permasalahan ini.

Sementara itu, Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak, telah memberi amaran kepada MYTV untuk melengkapkan pemancaran TV Digital Terestrial pada suku pertama tahun 2019. Kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap MYTV jika mereka tidak mematuhi isi perjanjian.

Beliau juga menegaskan, penghentian pemancar analog (ASO) masih ditetapkan pada tahun 2019.

MYTV dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menerusi syarikatnya, Puncak Semangat Sdn Bhd. MYTV telah berjaya memenangi kontrak pemancaran TV Digital pada tahun 2014, menewaskan pencabar seperti REDtone Network Sdn Bhd and i-Media Broadcasting Solutions Sdn Bhd.

[Sumber: NST, TheStar]

BACA  Samsung sedang bina Galaxy Fold 2 yang lebih murah