vivo NEX 2 mahu buang kamera hadapan dan tambah skrin kedua

Telefon pintar Vivo NEX adalah antara peranti terawal yang tampil dengan skrin nirbingkai tanpa takuk. Ia menggunakan modul kamera bermotor untuk dikeluarkan dari badan dan menyimpannya.

Generasi keduanya dikatakan akan datang tidak lama lagi, kali ini tampil dengan teknologi berbeza. Berbanding modul kamera bermotor, Vivo NEX 2 dilihat akan mengekalkan skrin nirbingkai tanpa kamera hadapan, dengan menambah skrin kedua di belakang, sama seperti Nubia X.

Dengan skrin kedua di belakang, swafoto boleh diambil menggunakan kamera belakang sambil previu dilihat di skrin belakang. Jadi, tidak perlu lagi adanya kamera di hadapan.

Vivo sendiri telah berkongsi beberapa video berkenaan Vivo NEX 2 yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Tiga video yang dikongsikan itu memberi fokus kepada tiga kamera menjadi satu, skrin dan kamera bersama bulan, mungkin merujuk kepada keupayaan tangkapan gambar waktu malam.

Kalau diperlihat dengan teliti pada video berkenaan skrin, dari satu bahagian kita dapat melihat skrin nirbingkai. Di satu bahagian lagi, dapat dilihat skrin kedua dengan bingkai tebal di atas dan bawah.

Dapat juga dilihat adanya bulatan besar di bahagian atas skrin kedua, dijangka ialah kamera utama di belakang. Bagaimanapun, masih ada kemungkinan ia bukanlah rupanya yang sebenar. Produk akhir mungkin akan ada sedikit perbezaan memandangkan video ini adalah animasi CGI.

Tidak ada perkara lain yang rasmi tentang Vivo NEX 2 tetapi ia dijangka akan dilancarkan di China pada 11 Disember nanti. Khabar angin memperkatakan ia akan datang dengan RAM sehingga 10GB dan storan bermula dari 128GB.

[Sumber: Vivo, GSMarena]

BACA  Harga Vivo V15 Pro dengan hadiah istimewa untuk tempahan awal