Hari ini Huawei mengumumkan harga telefon pintar bersaiz XL terbaru mereka, Huawei Y Max. Ia merupakan telefon pintar dengan skrin dan bateri yang besar, sesuai untuk mereka yang mahu menikmati kandungan dan hiburan mudah alih.
Huawei Y Max telah dibuka tempahan hari ini di Stor Online Huawei sempena jualan 12.12, dengan harga jualan RM1,299. Ia lebih murah dari harga jualan di Thailand, iaitu THB10,990 (~RM1,393).
Tempahan awal Huawei Y Max ini turut disertakan 3 hadiah percuma iaitu Huawei Y Max Flip cover, fon kepala Huawei AM116 dan gelang pintar Huawei A2 Band, semuanya bernilai RM295. Tawaran ini sah dari 19 hingga 12 Disember 2018.
Telefon ini memiliki skrin besar 7.12-inci FullView, dalam nisbah 18.7:9 dengan resolusi HD Penuh+ 2244×1080. Skrin ini memiliki takuk kecik seperti titisan air, untuk menempatkan kamera hadapan.
Ia dikuasakan cip Snapdragon 660, RAM 4GB dan storan dalaman 128GB. Kad mikroSD sehingga 256GB boleh dimasukkan sebagai storan tambahan. Untuk kamera, ia menggunakan dwi-lensa 16MP+2MP F2.0 di belakang bersama lensa 8MP F2.4 di hadapan.
Keunikan Huawei Y Max boleh dilihat di belakangnya, menggunakan lapisan seperti kulit, bukan besi, kaca atau plastik. Terdapat dua warna kulit boleh dipilih, antara cokelat dan hitam.
Huawei memuatkan sistem bunyi Dolby Atmos ke dalam Y Max untuk melengkapkan sistem hiburan. Ini ditambah lagi dengan bateri berkapasiti 5,000mAh, memberinya jangka hayat yang panjang.
Pesaing yang dilihat hampir dengan Y Max ini ialah Xiaomi Mi Max 3. Skrinnya sedikit kecil, 6.9-inci HD Penuh+ tanpa takuk, tetapi bateri besar 5,500mAh. Ia dikuasakan cip Snapdragon 636, RAM 4GB dan storan 64GB, dengan harga jualan RM1,099.
Kepada yang berminat untuk memiliki Huawei Y Max, boleh berbuat demikian menerusi Stor Online Huawei.