Tempahan awal OnePlus 6T McLaren dibuka sekarang di Malaysia

OnePlus 6T McLaren telah bertemu khalayak ramai apabila dilancarkan pada 11 Disember lepas. Seperti yang dijangka, edisi khas sempena ulangtahun kelima OnePlus ini akan dijual di Malaysia kerana tempahan awalnya telah diumumkan.

Set rasmi OnePlus 6T McLaren telah dibuka tempahan awalnya di Stor Rasmi OnePlus di Lazada, dari 14 hingga 19 Disember dan akan mula dihantar di antara 21 hingga 24 Disember 2018. Bermakna, ia boleh tiba di tangan anda sebelum hari Natal, 25 Disember.

Harga jualan edisi McLaren ini di Malaysia ialah RM3,388, ini RM399 lebih mahal dari edisi biasa dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Untuk perbandingan, harga jualan OnePlus 6T lain di Malaysia ialah:

  • OnePlus 6T (6GB/128GB) – RM2,458
  • OnePlus 6T (8GB/128GB) – RM2,738
  • OnePlus 6T (8GB/256GB) – RM2,989
  • OnePlus 6T McLaren (10GB/256GB) – RM3,388

Pembelian OnePlus 6T McLaren ini juga diberikan waranti tambahan lagi 1 tahun. Pembeli perlu mengisi kad waranti yang akan datang bersama telefon nanti.

Turut sama ditawarkan ialah fon kepala OnePlus Bullets Wireless, kini dijual di Malaysia pada harga RM429. Tetapi anda boleh menerima diskaun RM200 jika membelinya bersama OnePlus 6T McLaren. Gunakan kod OP6TMCLAREN semasa check out untuk mendapat diskaun RM200 ini.

Secara asasnya, OnePlus 6T McLaren adalah sama dengan edisi biasa, dengan beberapa perubahan kosmetik dan naik taraf RAM. Ia dikuasakan cip Snapdragon 845, RAM sebanyak 10GB dan storan dalaman 256GB.

Skrinnya berukuran 6.41-inci HD Penuh+ dari jenis AMOLED Optic. Rupa luarannya berwarna hitam, dengan kemasan karbon fiber di belakang, bersama bingkai berwarna oren yang menjadi warna tema McLaren.

BACA  OnePlus 7 mula kelihatan dijual di Malaysia minggu ini

Bateri di dalam telefon ini sebesar 3,700mAh dan datang dengan pengecas pantas baru, Warp Charge 30W yang boleh mengisi 50% penuh dalam masa 20 minit sahaja. Kenalinya lebih lanjut dalam artikel kami berkenaan majlis pelancarannya di sini.

Kepada yang berminat untuk memilikinya sebelum tahun baru 2019, anda boleh pergi ke Stor Rasmi OnePlus di Lazada sekarang untuk membuat tempahan awal.