HTC Desire 12s miliki kamera unik yang pasti menarik perhatian

Beberapa bulan lepas, HTC telah melancarkan telefon pintar U12 Life. Kini mereka memperkenalkan pula HTC Desire 12s. Seharusnya, ia adalah versi Desire 12 yang lebih murah tetapi diterapkan dengan beberapa rekaan yang dipinjam dari U12 Life.

Sekali pandang telefon pintar ini, pasti ia menarik perhatian. Apa taknya, susunan kamera belakangnya sangat pelik. Ia kerana kedudukan kamera yang tidak ke tengah dan tidak ke tepi. Malah, sebenarnya ia bukan kamera dwi-lensa, sebaliknya kamera satu lensa bersama LED Flash.

Kemasan belakang Desire 12s menggunakan konsep separuh rata dan separuh bertekstur, seperti U12 Life. Pengimbas capjari juga terdapat di belakang, di bahagian atas kemasan yang rata.

Skrin Desire 12s seluas 5.7-inci dalam nisbah 18:9. Ia memang panjang, tidak bertakuk tetapi memiliki bingkai di dagu dan dahi yang amat besar. Resolusi skrin ini hanya HD+ 1440×720.

Di dalam, ia dibekalkan dengan cip Snapdragon 435, bersama pilihan RAM 3GB dan storan 32GB, atau RAM 4GB dan storan 64GB. Baterinya sebesar 3,075mAh dan dicas melalui mikroUSB. Agak pelik juga apabila HTC hanya memberikan pengecas 5V1A yang dikira sangat perlahan di masa kini.

Untuk kamera, di belakang ia dilengkapi lensa tunggal 13MP F2.0. Manakala di hadapan, ia dipasang lensa 13MP F2.2 dan ditemani LED bercahaya lembut. HTC Desire 12s menjalankan sistem operasi Android 8.1 Oreo dengan antaramuka HTC Sense di atasnya.

Di Taiwan, HTC Desire 12s dijual pada harga TWD5,990 (~RM811) untuk versi RAM 3GB dan 32GB storan. Manakala versi RAM 4GB dan 64GB storan pula berharga TWD6,990 (~RM947). Dengan harga begini, susah nampaknya HTC nak cari makan kerana banyak jenama lain menawarkan model yang lebih berkuasa pada harga yang sama.

BACA  Apple mohon maaf masalah Facetime, kemaskini dilepaskan tidak lama lagi

Snapdragon 435 dan skrin HD dengan harga hampir RM1,000? HTC perlu kembali ke bilik mesyuarat dan membincangkan rancangan jualan mereka semula.

[Sumber: HTC Taiwan, Gadgets360]