Peranti rahsia Huawei rupanya ialah Mate 20 Pro yang lebih perkasa

Selepas berteka-tekuk selama beberapa hari, Huawei Malaysia hari ini mengesahkan kedatangan Huawei Mate 20 Pro terbaik mereka ke Malaysia. Ianya lebih besar, lebih pantas dan lebih kuat dari Mate 20 Pro sedia ada.

Telefon pintar Mate 20 Pro yang dicanang ini bukanlah sesuatu yang istimewa. Sebenarnya, ia adalah Mate 20 Pro yang sama seperti yang telah sedia ada di Malaysia. Kecuali, kali ini dibekalkan dengan RAM dan storan lebih besar.

Untuk model sebelum ini, variasi terbaik Mate 20 Pro di Malaysia ialah dengan RAM 6GB dan storan dalaman 128GB. Tetapi tidak lama lagi ia akan menjadi lebih besar, dengan RAM sebanyak 8GB dan storan dalaman 256GB.

Huawei Malaysia turut menyatakan, Mate 20 Pro dengan RAM 8GB dan storan 256GB ini akan dijual dalam satu warna sahaja, iaitu warna Twilight yang kini menjadi warna tema peranti Huawei.

Bagaimanapun, Huawei tidak pula berkongsi bilakah tarikh jualannya dan berapa pula harganya. Rasa-rasanya, ia akan sedia dijual sebelum Hari Natal pada 25 Disember minggu depan. Mungkin bermula jumaat ini.

Stor Huawei Malaysia dilihat telah menyenaraikan Mate 20 Pro 8GB/256GB ini tetapi tiada tanda harga. Yang menarik, ia akan datang bersama hadiah percuma berupa pengecas wayarles Huawei dan tripod.

Mate 20 Pro 8GB/256GB telah lama dijual di China pada harga RMB6,799 (~RM4,126). Jadi kami jangkakan di Malaysia nanti, harga jualannya sekitar RM4,199 iaitu RM600 lebih mahal dari model RAM 6GB/128GB yang berharga RM3,599.

Adakah anda mahukan telefon pintar terbaik dari Huawei? Jika ya, nantikan ketibaannya tidak lama lagi. Kita tunggu pengumuman rasmi Huawei Malaysia yang selanjutnya.