Dua gelang pintar Honor Band 4 akan datang bersama Honor 10 Lite

Honor Malaysia telah mengumumkan akan melancarkan telefon pintar Honor 10 Lite pada 8 Januari tahun depan. Rupa-rupanya, ia tidak akan datang berseorangan.

Honor Malaysia akan turut melancarkan dua lagi produk mereka di samping Honor 10 Lite. Kedua-duanya adalah produk kecergasan boleh pakai iaitu Honor Band 4 dan Honor Band 4 Running.

Honor Band 4

Honor Band 4 adalah model terbaru gelang kecergasan keluaran Honor. Ia memiliki paparan AMOLED seluas 0.95-inci, sensor pengesan denyutan nadi berterusan TruSeen 3.0 dan pemantau waktu tidur TruSleep. Ia juga kalis air sehingga 5 ATM, bermakna boleh masuk ke dalam air sehingga 50 meter dalam.

Untuk fungsi kecergasan, ia boleh merekod langkah pengguna dan jarak. Semua maklumat ini boleh dirujuk semula menggunakan aplikasi Huawei Health.

Sebagai peranti pintar, ia boleh memaklumkan panggilan masuk dan pengguna boleh memilih untuk menolak panggilan tersebut dari Band 4. Ia juga boleh memberi notifikasi berkenaan SMS, emel, penggera serta media sosial melalui getaran pada Band 4.

Jangka hayat bateri Honor Band 4 juga agak panjang. Dengan mengaktifkan fungsi pengesan tidur TruSleep bersama pengesan denyutan nadi TruSeen, ia boleh bertahan sehingga 7 hari. Dengan fungsi pengesan tidur TruSleep sahaja, ia boleh hidup sehingga 12 hari. Tanpa TruSleep dan TruSeen, ia boleh pergi sehingga 17 hari.

Dengan sambungan Bluetooth ke telefon, Honor Band 4 boleh dijadikan alat kawalan jauh untuk mengambil gambar. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk mencari telefon pintar menggunakan Band 4, jika pengguna terlupa di mana telefon itu diletakkan.

Honor Band 4 Running

Satu lagi peranti kecergasan yang akan datang ke Malaysia ialah Honor Band 4 Running. Ia bukanlah Band 4 yang ditukar tali gelang sahaja, sebaliknya ia adalah peranti yang berbeza dari Band 4 biasa.

BACA  Galaxy A30 dan A50 tiba di Malaysia minggu depan

Seperti namanya, ia memberi fokus kepada aspek larian. Band 4 Running memiliki sensor 6-paksi untuk mengesan cara pengguna berlari dengan lebih tepat.

Untuk itu, Band 4 Running bukan sahaja boleh dipakai di pergelangan tangan, malah pengguna digalakkan memakainya di kasut. Band 4 Running akan datang dengan gelang tangan, serta pengikat di tali kasut. Jadi ia akan mengesan dan memantau pergerakan kaki pengguna dalam 6 arah untuk memberi laporan larian yang lebih jitu.

Band 4 Running juga kalis air 5 ATM, boleh digunakan sewaktu berenang dan masuk air sedalam 50 meter.

Skrin Band 4 Running seluas 0.5-inci dari jenis OLED, tetapi tidak berwarna. Kerana itu, baterinya boleh bertahan sehingga 21-hari. Ia boleh hidup sehingga 40-jam jika digunakan berterusan dalam mod larian di kaki. Untuk mengecas pula, mengambil masa kurang 100 minit untuk penuh.

Honor Malaysia masih belum memaklumkan harga untuk kedua-dua peranti kecergasan ini. Tetapi di China, ia telah dijual pada harga RMB199 (~RM120) untuk Honor Band 4 dan RMB99 (~RM60) sahaja untuk Honor Band 4 Running.