Motorola kembali ke Malaysia dengan Motorola One

Masih ada peminat Helo Moto di Malaysia? Jika ya, maka anda boleh bergembira dengan kedatangan telefon pintar Motorola One ke Malaysia. Shopee Malaysia hari ini mengumumkan penjualan eksklusif telefon pintar ini di platform e-dagang mereka.

Menerusi Stor Rasmi Motorola di Shopee, telefon pintar Motorola One akan dijual bermula dari 9 Januari 2019, dengan harga promosi RM799. Ia hanya boleh dibeli secara eksklusif di Shopee sahaja.

Motorola One merupakan sebuah peranti yang menyertai program Android One. Di dalam kotak, ia masih menggunakan Android 8.1 Oreo, tetapi ia telah dijamin menerima kemaskini Android 9.0 Pie.

Sebagai peranti Android One, ia menikmati pelbagai kelebihan dari Google seperti simpanan gambar dan video resolusi penuh tanpa had, kawalan arahan suara Google Assistant, pencarian masa nyata Google Lens dan banyak lagi. Ia juga akan sentiasa menerima kemaskini keselamatan setiap bulan selama tiga tahun.

Skrin Motorola One berukuran 5.9-inci bertakuk di dahi, dengan resolusi HD+ sahaja dalam nisbah 19:9. Ia memiliki teknologi Moto Display, memberikan notifikasi dan info seperti jam dan tarikh walaupun skrin terpadam. Untuk badan belakang, ia diselaputi kaca.

Kuasa dalamannya digerakkan oleh cip Snapdragon 625, dengan RAM 4GB dan storan 64GB. Ia menyokong kad memori mikroSD sehingga 256GB, dalam slot hibrid bersama dua kad sim nano.

Bateri berkapasiti 3,000mAh dipasang di dalam Motorola One dan ia menyokong pengecasan pantas TurboPower 15W melalui port USB-C. Mengecas 20 minit memberikannya tenaga sehingga 6 jam penggunaan.

Kamera Motorola One menggunakan dwi-lensa di belakang, lensa utama 13MP F2.0 dengan autofokus PDAF, manakala lensa kedua 2MP F2.4. Kamera hadapan pula 8MP F2.2, ditemani LED Flash untuk swafoto yang cerah.

BACA  Nokia akan hasilkan peranti dengan skrin berlubang?

Pengimbas capjari terletak di belakang telefon dengan pembesar suara di bawah, dikuasakan Dolby Audio. Ia juga masuk mengekalkan jek audio 3.5mm untuk penggunaan fon kepala berwayar.

Jangan lupa untuk ke Stor Motorola di Shopee pada 9 Januari, untuk mendapatkan telefon pintar Motorola One ini.