fbpx

Nokia 8.1 akan dilancarkan di Malaysia minggu hadapan

Gelombang pelancaran telefon pintar baru di Malaysia tiba secara bertubi-tubi walaupun kita baru memasuki minggu kedua tahun 2019. Hari ini, giliran Nokia Malaysia pula memaklumkan kepada orang ramai, ketibaan telefon pintar Nokia 8.1 yang baru diumumkan di Dubai bulan lepas.

Dicipta berasaskan Nokia X7 yang dilancarkan di China, ia berubah nombor menjadi Nokia 8.1 apabila dilancarkan untuk pasaran antarabangsa. Ia berbeza dengan Nokia X6 di China yang menjadi Nokia 6.1 untuk dijual di luar China.

Telefon pintar Nokia 8.1 akan dijual di Malaysia menerusi semua pengedar sah Nokia bermula 18 Januari 2018, pada harga RM1,699. Hanya satu warna ditawarkan untuk permulaan, iaitu warna Biru/Perak.

Tempahan awal Nokia 8.1 dari pengedar terpilih, melayakkan pembeli menerima hadiah percuma bernilai RM188. Hadiah tersebut ialah casing rugged, pelinduns skrin tempered glass, dan kit lensa 5-dalam-1. Senarai pengedar terpilih tersebut boleh disemak di sini.

Nokia menggelarkan Nokia 8.1 sebagai flagship mampu milik, tetapi kami merasakan ia lebih sesuai dikategorikan sebagai peranti kelas pertengahan premium. Ini boleh dilihat apabila ia dilengkapi cip pemproses Snapdragon 710, RAM LPDDR4X sebanyak 4GB dan storan dalaman 64GB dari jenis eMMC 5.1. Ia menerima kad mikroSD sehingga 400GB.

Kelebihan utama peranti Nokia adalah ia termasuk dalam program Android One. Ini menandakan, Nokia 8.1 menggunakan sistem operasi Android Tulen tanpa diubah, dan akan menerima kemaskini sistem operasi selama dua tahun, serta kemaskini keselamatan setiap bulan. Ia datang siap dengan Android 9.0 Pie.

Rekaan Nokia 8.1 dibina premium, sama seperti di Nokia 7 Plus. Ia menggunakan kerangka aluminium 6000 yang bergabung dengan kaca melengkung di belakang. Rekaan ini disempurnakan dengan warna unik dua tona yang sering digunakan Nokia di peranti mereka baru-baru ini.

BACA  Pemohon visa Amerika Syarikat kini wajib memberi maklumat media sosial

Skrin Nokia 8.1 berukuran 6.18-inci bertakuk, dengan resolusi HD Penuh+. Ia menggunakan teknologi paparan PureDisplay yang menyokong HDR10 untuk kontras lebih tinggi dan imej yang jelas, walau di dalam gelap atau dibawah terik sinar mentari.

Fokus lebih diberikan pada kameranya, yang menggunakan optik Zeiss. Kamera belakangnya menggabungkan lensa utama 12MP dengan penstabil imej optikal dan elektronik (OIS+EIS) bersama lensa kedua 13MP. Kamera hadapannya pula 20MP.

Bateri yang dimuatkan di dalam Nokia 8.1 sebesar 3,500mAh, dan menyokong pengecasan pantas 18W menerusi sambungan USB-C. Menariknya, Nokia 8.1 masih mengekalkan jek audio 3.5mm. Pengimbas capjari pula terdapat di belakang.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman produk Nokia 8.1.