fbpx

Vivo Apex 2019 tiada butang fizikal tiada lubang pengecas

Vivo sekali lagi menampilkan telefon pintar konsep mereka, kali ini dikenali sebagai Apex 2019. Tahun lepas, mereka memperkenalkan telefon pintar Apex yang seterusnya dipasarkan sebagai Vivo Nex.

Vivo Apex 2019 bagaimanapun mungkin tidak akan direalisasikan seperti apa yang diperlihatkan sekarang. Tetapi Vivo akan memperlihatkannya di pameran MWC 2019 di Barcelona bulan depan. Jadi kita mungkin akan dapat melihat dan merasa sendiri telefon konsep terbaru Vivo ini.

Pembaharuan yang terdapat pada Apex 2019 ialah ketiadaan butang fizikal serta port sambungan yang jelas. Tiada jek audio 3.5mm malah tiada sebarang port USB-C atau mikroUSB. Untuk mengecas dan penghantaran data, ia menggunakan sambungan magnetik yang terdapat di belakang. Masih tiada sokongan pengecas wayarles padanya.

Telefon ini juga ialah telefon pertama dari Vivo dilengkapi teknologi rangkaian 5G, menggunakan modem 5G Qualcomm X50. Bersama itu, ia diperkasa dengan cip pemproses Snapdragon 855, RAM sebanyak 12GB dan storan dalaman seluas 256GB.

Skrin Apex 2019 berkeluasan 6.39-inci dari jenis AMOLED, dengan bingkai yang sangat nipis, hampir tidak kelihatan. Agak pelik juga kerana tiada kamera hadapan kelihatan, malah tidak dimaklumkan bagaimana swafoto boleh diambil. Tiada takuk, tiada skrin gelungsur dan tiada lubang di skrin. Bagi kamera belakang, terdapat dua lensa, 12MP+13MP bersama LED Flash.

Vivo menggunakan teknologi bunyi di atas skrin, menjadikan skrin bergetar untuk menghasilkan bunyi tanpa memerlukan lubang speaker khusus. Dengan ketiadaan jeriji speaker, ia menipiskan bingkai dan meluaskan ruang skrin.

Menariknya, pengimbas capjari terdapat di dalam skrin, dan boleh digunakan di seluruh skrin, bukan hanya kawasan tertentu. Ini menjadikannya pengimbas capjari tercanggih kerana mampu mengesan di seluruh skrin.

BACA  RedONE Travel Data SIM permudah cara berinternet di luar negara

Ketiadaan butang fizikal bukan bermakna ia tiada, sebaliknya Vivo menggunakan butang kapasitif dan peka tekanan. Dengan ini, fungsi butang kuasa dan kawalan bunyi masih ada di sisi, tetapi menjadikan bentuk telefon yang licin.

Dari rupa dan spesifikasi yang dikongsi, konsep Apex 2019 seperti terlalu canggih untuk direalisasikan. Tetapi kita akan dapat melihat dengan lebih jelas di pameran MWC 2019 bulan depan.

[Sumber: Verge, GSMarena]