fbpx

Samsung Galaxy M10 dan M20 mencabar takhta raja kelas pertengahan

Selepas banyak petunjuk diberikan, Samsung hari ini melancarkan siri Galaxy M di India. Ia menampilkan skrin luas, bateri besar pada harga yang lebih mampu milik. Di bawah RM1,000.

Siri Galaxy M akan mengisi ruang di antara telefon kelas permulaan Galaxy J dan kelas pertengahan Galaxy A. Sedikit sebanyak, ia memberi saingan kepada model seperti Xiaomi, Realme, dan ASUS.

Samsung pernah pada satu masa merupakan peneraju telefon pintar di India, dengan jualan terbanyak dari siri Galaxy J. Bagaimanapun, Samsung telah dipintas oleh jenama dari China seperti Xiaomi. Dengan Galaxy M, Samsung dilihat mahu merampas kembali takhta penjual utama telefon pintar di India.

Menurut Samsung, siri Galaxy M mensasarkan kepada golongan milenia yang muda remaja. Beberapa model lain akan diperkenalkan sepanjang tahun 2019. Untuk permulaan, dua model tiba dalam pelancaran ini, Galaxy M10 dan Galaxy M20.

Samsung Galaxy M10

Berharga lebih murah antara keduanya, Galaxy M10 memiliki skrin yang agak besar, berukuran 6.22-inci dengan takuk kecil dipanggil Infinity V. Resolusinya hanyalah HD+.

Di dalam, ia memiliki kuasa pemproses Exynos 7870, dengan pasangan RAM 2GB dan storan 16GB, atau RAM 3GB dan storan 32GB. Storan ini boleh diluaskan menggunakan kad mikroSD.

Di bahagian kamera, ia memiliki dua lensa di belakang. Lensa utama 12MP F1.9 dan lensa kedua 5MP ultra lebar. Di hadapan, ia dipasang lensa 5MP F2.0 untuk tangkapan swafoto.

Tiada pengimbas capjari fizikal di pasang di Galaxy M10, tetapi ia dilengkapi pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin. Bateri di Galaxy M10 sebesar 3,400mAh dan dicas melalui port mikroUSB.

Walaupun model baru, Samsung masih menggunakan sistem operasi Android 8.1 Oreo bersama antaramuka Samsung Experience v9.5 di Galaxy M10.

BACA  AMD Radeon akan perkasa grafik di dalam cip Samsung Exynos

Samsung Galaxy M20

Peranti yang lebih perkasa, Galaxy M20 dipertingkat beberapa ciri-ciri seperti cip pemproses Exynos 7904, bersama RAM sehingga 4GB dan storan sehingga 64GB. Ia turut menerima kad mikroSD untuk storan tambahan sehingga 512GB.

Skrin Galaxy M20 berukuran 6.3-inci bertakuk Infinity V, tetapi resolusi lebih tinggi HD Penuh+. Takuk ini memuatkan kamera hadapan 8MP F2.0. Di belakang, ia memiliki kamera dwi-lensa, 13MP F1.9 bersama lensa kedua ultra lebar 5MP.

Pengimbas capjari fizikal terdapat di belakang dan ia turut menyokong fungsi pengecaman wajah. Bateri sebesar 5,000mAh dipasang di dalam, dan ia dicas melalui port USB-C. Samsung turut memberikan pengecas pantas 15W untuk pembeli Galaxy M20.

Sama seperti Galaxy M10, Samsung menggunakan sistem operasi Android 8.1 Oreo bersama antaramuka Samsung Experience v9.5 di Galaxy M20.

Harga

Samsung akan mula menjual Galaxy M10 dan M20 di India bermula dari 5 Februari 2019. Harga jualannya adalah seperti berikut:

Galaxy M10 RAM 2GB + Storan 16GB – INR7,990 (~RM461)
Galaxy M10 RAM 3GB + Storan 32GB – INR8,990 (~RM519)

Galaxy M20 RAM 3GB + Storan 32GB – INR10,990 (~RM629)
Galaxy M20 RAM 4GB + Storan 64GB – INR12,990 (~RM745)

Belum ada khabar tentang jualannya di luar India. Dengan harga di bawah RM1,000, ia boleh menandingi pelbagai peranti kelas pertengahan di Malaysia seperti ASUS Zenfone Max Pro M2, Honor 8X dan Realme 2 Pro, Xiaomi Redmi Note 6 Pro.