Nex.Life tawar internet tanpa had di rumah dan di luar serendah RM100

Jika anda masih tercari-cari pelan internet tanpa had, anda boleh mencuba pelan Nex.Life yang diperkenalkan Webe Digital, anak syarikat di bawah Telekom Malaysia. Ia adalah satu jenama baru yang menawarkan akses internet sahaja, menggabungkan jalur lebar tetap dan mudalih, tanpa had kuota pada kadar RM100/bulan sahaja.

Pelan ini sebenarnya berharga RM110/bulan, tetapi sebagai promosi pengenalan, ia memberikan diskaun RM10. Menurut FAQ di laman web, pelan Nex.Life memberikan internet tanpa had di rumah dengan kelajuan 20Mbps, dengan kontrak selama 12 bulan.

Pelan jalur lebar tetap ini tidak memiliki perkhidmatan panggilan, malah router juga tidak disediakan. Bermakna, pengguna perlu membeli sendiri router untuk kegunaan di rumah. Untuk itu, Nex Life ada menyediakan senarai router yang sesuai digunakan.

Bagi pelan mudahalih, kuota tanpa had hanya untuk sambungan 4G LTE sahaja. Di luar liputan 4G LTE, 500MB kuota diberikan untuk kegunaan di rangkaian 3G. Selepas itu, kelajuan akan disekat ke 64kbps. Jika kehabisan kuota, data 3G tambahan boleh dibeli, sebanyak 1GB berharga RM15, 3GB RM30 dan 5GB RM45.

Talian mudah alih boleh menggunakan perkhidmatan panggilan dan SMS, dikenakan caj sebanyak 20sen/minit (1 blok panggilan 60-saat) dan SMS pula 15sen setiap satu.

Disebabkan Webe merupakan anak syarikat TM, liputan jalur lebarnya dijangka sama seperti liputan Unifi Broadband. Manakala liputan mudah alih sama seperti Unifi Mobile.

Menarikkan tawaran Nex.Life ini. Kalau pelan Unifi Broadband dan Unifi Mobile tanpa had, termurah pun sudah RM79+RM99 = RM178. Buang panggilan dan SMS tanpa had, dah jadi pelan Nex.Life berharga RM100 sahaja.

Jika berminat, anda boleh mendaftar menerusi laman web Nex.Life. FAQ turut menyebut, pendaftaran memerlukan deposit sebanyak RM300 dan ia akan dipulangkan dalam bil bulanan selepas selesai pemasangan.

BACA  Xiaomi perlihat pengecas 100W yang mengisi 4,000mAh dalam 17 minit