fbpx

Laman tempahan hotel akan didakwa jika teruskan taktik menakutkan pelanggan

Menaiki kapal terbang semakin mudah dan ini membuatkan ramai orang melancong ke luar negara. Selain mencari tiket penerbangan murah, tempat penginapan juga menjadi satu perkara penting ketika melancong.

Bagi yang memiliki bajet ketat dan mahu menjimatkan wang, pencarian hotel yang berbaloi dengan wang yang dilaburkan juga lebih mudah. Laman tempahan hotel seperti Expedia, Booking.com, Agoda, Hotels.com, ebookers, trivago dan banyak lagi telah timbul bak cendawan lepas hujan.

Jika anda pernah membuat tempahan di laman tersebut, pasti anda sering terjumpa notis seperti:

  • Ini bilik terakhir
  • Terdapat 15 orang sedang memerhati bilik ini
  • Diskaun 70% untuk hari ini sahaja
  • 3 bilik terakhir dengan harga ini
  • Ditempah 40 kali dalam masa 24 jam

Perkara ini membuatkan pengunjung resah kerana bilik yang dimahukan habis ditempah, atau harga diskaun itu tidak lagi boleh didapati di kemudian hari. Hasilnya, tempahan terus dibuat tanpa kajian lebih lanjut.

Taktik tempahan yang menakutkan pelanggan ini akan dihentikan di United Kingdom. The Competition and Markets Authority (CMA), badan yang bertanggungjawab untuk memperkasa saingan dalam pasaran dan mengurangkan aktiviti anti persaingan telah mewajibkan semua laman tempahan hotel untuk berhenti menggunakan taktik tersebut.

CMA memaklumkan, mereka telah memulakan siasatan sejak Jun 2018 dan mendapati beberapa laman tempahan yang cuba mengelirukan pengunjung dengan notis yang tidak sepatutnya. Malah, ada yang mendakwa pemberian diskaun tidak selari dan mengenakan caj tersembunyi.

CMA tidak menyatakan laman tempahan mana yang berbuat demikian tetapi telah mengambil langkah untuk menghentikan taktik yang mengelirukan ini. Enam syarikat telah bersetuju untuk menuruti saranan CMA iaitu Expedia, Booking.com, Agoda, Hotels.com, ebookers dan trivago. Tetapi ia tidak terhad kepada enam syarikat ini, sebaliknya ia harus diikuti oleh semua laman tempahan lain.

BACA  Huawei Y5 2019 berharga kurang RM500 akan tiba sebelum Hari Raya

Syarat yang dipersetujui tersebut ialah:

  • Menunjukkan dengan jelas bagaimana hotel diberi gred, termasuk sebarang pembayaran kepada laman tempahan untuk menaikkan nama mereka dalam senarai
  • Tidak memberi pandangan palsu mengenai populariti hotel untuk memaksa pengguna membuat tempahan segera. Contohnya, ada orang lain sedang melihat kamar yang sama tetapi tarikh berbeza. Ada juga yang mengatakan hotel lain habis ditempah untuk memaksa pengguna membuat tempahan hotel yang sedang dicari dengan segera.
  • Mempamerkan diskaun dengan jelas serta mempromsikan tawaran yang terdapat pada masa tempahan sahaja. CMA menemui ada laman yang membandingkan harga hujung minggu dengan hari biasa, serta suite mahal dengan bilik standard.

CMA telah menetapkan 1 September 2019 untuk semua laman tempahan mematuhi syarat yang ditetapkan tadi. Jika tidak, laman tempahan tersebut akan didakwa di mahkamah.

Ini ialah satu langkah bagus yang dapat melindungi pengguna dari dikelirukan oleh laman tempahan hotel. Ia satu peraturan yang bak untuk digunakan di Malaysia. Mohon kementerian atau agensi penguatkuasaan berkaitan untuk memperhalusi cadangan ini.

Syed Saddiq boleh tolong tak?

[Sumber: BBC]