fbpx

Moto G7 peranti mampu milik di luar jangkauan

Motorola hari ini mengumumkan generasi ke-7 bagi model Moto G mereka. Bukan satu, tetapi empat model Moto G7 diperkenalkan yang datang siap dengan sistem operasi terbaru, Android 9.0 Pie.

Empat model Moto G7 berbeza menjanjikan kamera lebih baik, bateri tahan lebih lama, pemproses lebih berkuasa dan skrin lebih besar. Menariknya, semua model Moto G7 disalut dengan lapisan kalis air untuk melindungi dari percikan air dan hujan.

Moto G7

Watak asas dalam pelancaran ini ialah moto G7. Ia meruapakan telefon pintar kelas pertengahan dengan skrin seluas 6.2-inci, bertakuk titisan air dengan resolusi HD Penuh. Kuasa pemprosesnya menggunakan cip Snapdragon 632 yang sama digunakan oleh ASUS Zenfone Max M2 (versi bukan Pro).

Selain itu, ia diberikan RAM sebanyak 4GB dan storan dalaman 64GB. Ia sedia menerima kad mikroSD untuk storan tambahan sehingga 128GB.

Badan belakangnya menggunakan kaca 3D dengan kamera belakang dan LED Flash terletak di dalam bulatan besar. Kamera ini dwi-lensa, gabungan lensa utama 12MP F1.8 dan lensa pengesan tahap kedalaman 5MP. Kamera hadapan pula 8MP.

Tenaganya disalurkan dari bateri 3,000mAh dan boleh dicas pantas menggunakan pengecas TurboPower 15W yang disertakan. Ia menggunakan sambungan USB-C untuk mengecas. Motorola menyatakan, peranti ini boleh digunakan sehari dengan sekali cas penuh, dan boleh digunakan selama 9 jam dengan mengecas selama 15 minit.

Moto G7 akan mula dijual di Brazil dan Mexico terlebih dahulu, diikuti pasaran Eropah. Ia akan dijual di rantau Asia Pasifik, Amerika Selatan dan Amerika Utara dengan harga jualan bermula dari USD299 (~RM1,216).

Moto G7 Plus

Moto G7 Plus bukan besar pada saiz tetapi lebih kepada besar prestasi berbanding Moto G7. Ia memiliki paparan yang sama, bersaiz 6.2-inci dan bertakuk titisan air. Tetapi ia menggunakan pemproses Snapdragon 636 yang lebih baik. RAM dan storan kekal sama, 4GB dan 64GB dan menyokong kad mikroSD.

BACA  Redmi 7A Versi Malaysia Dijual Pada Harga Bermula RM399

Peranti ini juga memiliki kamera lebih baik. Kamera utama di belakang menggunakan sensor 16MP F1.7 dengan penstabil imej optikal (OIS). Kamera kedua pula 5MP untuk mengesan tahap kedalaman. Kamera hadapan juga lebih baik, menggunakan sensor 12MP.

Disebabkan saiz yang sama, baterinya sama besar iaitu 3,000mAh tetapi disertakan pengecas lebih berkuasa, TurboPower 27W dengan sambungan USB-C. 15 minit mengecas boleh memberikan tenaga penggunaan selama 12 jam.

Selain itu, Moto G7 Plus dipasang dengan pembesar suara stereo yang diperkasa Dolby Audio.

Moto G7 Plus akan mula dijual di Brazil dan Mexico terlebih dahulu, diikuti pasaran Eropah pada pertengahan bulan Februari. Ia kemudiannya akan dijual di rantau Australia dan Amerika Selatan dengan harga jualan bermula dari EUR299 (~RM1,382).

Moto G7 Power

Power pada namanya merujuk kepada kapasiti bateri yang mega besar. Moto G7 Power dilengkapi bateri 5,000mAh yang dikatakan boleh memperkasa peranti sehingga 3-hari. Ia datang bersama pengecas TurboPower 15W USB-C, yang boleh memberi tenaga selama 9 jam dengan cas selamam 15 minit.

Dari segi prestasi, ia lebih rendah dari Moto G7. Walaupun ia menggunakan pemproses Snapdragon 632 yang sama, ia hanya memiliki RAM 3GB dan storan dalaman 32GB. Kamera belakang pula lensa tunggal 12MP F2.0, manakala kamera hadapan 8MP.

Moto G7 Power juga akan dijual terlebih dahulu di Brazil dan Mexico, diikuti oleh rantau Eropah dan serata dunia dengan harga bermula dari USD249 (~RM1,147).

Moto G7 Play

Peranti paling murah dari model terbaru ini ialah Moto G7 Play. Skrinnya lebih kecil, hanya 5.7-inci dan resolusi HD+ sahaja. Pemprosesnya masih menggunakan Snapdragon 632 tetapi digandingkan dengan RAM 2GB dan storan 32GB sahaja.

BACA  Yoodo diumum sebagai penaja rasmi Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL)

Badan belakangnya diperbuat dari plastik. Untuk kamera, ia dipasang lensa tunggal 12MP F2.0 di belakang dan 8MP F2.2 di hadapan.

Baterinya sebesar 3,000mAh tetapi disertakan pengecas USB-C 10W sahaja. Harga jualannya ditetapkan pada USD199 (~RM916).

Persaingan

Walaupun banyak model yang dilancarkan, kita tidak pasti adakah ia akan dijual di Malaysia. Sejarah menunjukkan model sebelum ini, Moto G6 tidak dijual di Malaysia. Tetapi ia mungkin berubah kerana Motorola baru kembali ke Malaysia dengan penjualan Motorola One awal tahun ini.

Dari pengumuman ini, dapat dilihat Motorola cuba mensasarkan pasaran Amerika Selatan dan Eropah, di mana peranti buatan China masih sukar ditemui di sana. Tanpa persaingan dari Xiaomi, Honor, ASUS dan Realme, harga jualan Motorola G7 dilihat tidak terlalu mahal untuk pembeli di sana.

Tetapi Motorola pasti sukar untuk memasarkannya di sekitar Asia dan Malaysia, jika ia cuba mengekalkan harga yang sama. Walaupun ia memiliki sistem operasi terbaru dengan antaramuka tulen, peranti Nokia dilihat memberi tawaran yang lebih baik.

Adakah anda berminat dengan mana-mana model Moto G7? Apakah titik penting yang akan membuatkan anda membelinya?

[Sumber: Motorola]