fbpx

Mi 9 Kepalai Armada Flagship 2019 Dengan Kamera 48MP

Setelah digembar-gemburkan sekian lama, akhirnya Xiaomi Mi 9 sudahpun diumumkan di China. Secara kasarnya, semua khabar angin dan maklumat tertiris di Internet adalah benar.

Atas helaian spesifikasi, ia memiliki segala-gala yang perlu ada pada sebuah flagship 2019. Pada papan utama, ia dilengkapi CPU Snapdragon 855 bersama-sama RAM sehinga 8GB dan storan 128GB.

Komponen berkuasa tinggi itu dimanfaatkan sepenuhnya terutamanya pada bahagian kamera. Di belakangnya ada tiga buah kamera dengan fungsi khusus.

Kamera utamanya diberikan sensor Sony IMX586 48MP dengan apertur F1.75. Kamera telefotonya ada sensor 12MP F2.2 manakala kamera ketiganya miliki sudut pandang luas dengan sensor 16MP F2.2. Kamera selfie Mi 9 diberikan sensor 20MP F2.0.

Notch pada Mi 9 adalah berbentuk titisan air dan lebih kecil berbanding Mi 8. Mukanya sebahagian besar diliputi panel paparan AMOLED 6.39″ beresolusi HD Penuh.

Disebalik paparan itu ada pengimbas cap jari optikal yang membasmi penggunaan pengimbas cap jari dibelakang badan telefon.

Pada bahagian bateri, Xiaomi memberikan teknologi pengecasan wayarles paling berkuasa di dunia iaitu 20W. Pengecasan dengan kabel pula mampu mengepam masuk 27W tenaga untuk mengisi bateri 3,300mAh yang dimilikinya.

Xiaomi Mi 9 hadir dengan satu model istimewa hasil kerjasama dengan filem Alita: Battle Angel. Rekaan belakangnya sedikit unik kerana ada kemasan seakan lutsinar seperti Mi 8 Explorer Edition. Ia juga diberikan RAM 12GB dan storan 256GB selain kamera yang ada bukaan apertur lebih luas, F1.47.

Di China, Xiaomi Mi 9 dijual pada harga seperti berikut:

  • RAM 6GB + storan 128GB – RMB 2,999 (RM 1,815)
  • RAM 8GB + storan 128GB – RMB 3,299 (RM 1,996)
  • RAM 12GB + storan 256GB – RMB 3,999 (RM 2,420)
BACA  Aktifkan Tour Pass Di Alipay Untuk Dapatkan e-Wallet Sementera Di China

Xiaomi akan mengadakan pelancaran global untuk Mi 9 di Barcelona pada 24 Februari 2019 ini. Jangan lupa untuk ikuti perkembangan telefon ini di SoyaCincau BM.