fbpx

5 kamera belakang Nokia 9 Pureview nampak mengarut

HMD Global membuka tirai pelancaran mereka di MWC 2019 dengan melancarkan beberapa telefon Android. Sudah pasti, yang paling menarik perhatian ialah Nokia 9 Pureview yang memiliki 5 kamera belakang.

Jika anda fikir 5 lensa ini adalah berbeza, maka anda salah. Ini kerana kelima-lima lensa ini memiliki resolusi 12MP dan apertur F1.82, menggunakan optik Zeiss. Tetapi tiga darinya ialah sensor monokrom, dan dua lagi sensor RGB.

Menurut Nokia, kelima-lima lensa ini mengambil gambar serentak, dan ia digabungkan untuk menjadi satu gambar dengan ketelitian yang amat dalam. Gambar juga lebih cerah dengan julat warna yang lebih tinggi.

Dengan pelbagai lensa, ia boleh mengambil gambar bokeh dengan analisa jarak kedalaman berbeza, sehingga 1,200 lapisan. Ini juga membolehkan tahap kekaburan diubah selepas gambar diambil.

Untuk memberi lebih nilai kepada gambar yang diambil, Nokia 9 Pureview disertakan dengan aplikasi Adobe Photoshop Lightroom. Pengguna memiliki lebih kawalan apabila mengambil gambar secara RAW seterusnya diedit dengan Lightroom.

Kamera hadapannya pula menggunakan sensor 20MP. Peranti ini juga layak menerima storan gambar resolusi tinggi tanpa had di Goolge Photos.

Badan telefon ini direka premium, sama seperti Nokia sebelumnya. Ia memiliki paparan PureDisplay pOLED berukuran 5.99-inci, dengan resolusi QHD+. Ia dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5. Pengimbas capjari terdapat di dalam skrin.

Kuasa pemproses Nokia 9 Pureview digerakkkan cip Snapdragon 845, RAM 6GB dan storan dalaman 128GB. Ia menggunakan sistem operasi Android 9.0 Pie dan termasuk dalam program Android One, memastikan kemaskini keselamatan pantas dan dijamin selama 3 tahun.

Bateri agak kecil dipasang, iaitu 3,320mAh sahaja. Ia menyokong pengecasan pantas melalui USB-C, serta pengecasan wayarles Qi. Peranti ini juga kalis air dan debu dengan pengiktirafan IP67.

BACA  Pilihan telefon pintar terbaik di bawah RM600 tahun 2019

Nokia 9 Pureview akan mula berada di pasaran bermula Mac, dengan harga jualan USD699 (~RM2,848). Tiada khabar untuk Malaysia lagi, tetapi memandangkan sejarah sebelum ini, semua peranti Nokia ada dijual di Malaysia.