fbpx

Vivo V15 dan V15 Pro dengan kamera tersembunyi dilancar di Malaysia

Selepas lama berteka teki, Vivo Malaysia hari ini melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka, V15 dan V15 Pro. Kedua-dua telefon ini menampilkan skrin nirbingkai tanpa kamera hadapan di skrin, kerana kamera ini boleh disembunyikan.

Di samping itu, kedua-dua telefon dilengkapi tiga kamera belakang berkuasa AI.

Vivo V15 Pro

Maklumat tentang Vivo V15 Pro telah sekian lama didedahkan. Ia memiliki skrin Super AMOLED 6.39-inci HD Penuh+ tanpa sebarang takuk. Di dalam, ia dikuasakan cip pemproses Sanpdragon 675, RAM 6GB dan storan dalaman 128GB, yang sedia menerima storan tambahan melalui kad mikroSD.

Baterinya sebesar 3,700mAh tetapi ia masih menggunakan port mikroUSB untuk mengecas. Pengecas ini memiliki kuasa Vivo Dual-Engine untuk pengecasan pantas. Pengimbas capjari di Vivo V15 Pro terdapat di atas skrin.

Keunikan telefon ini ialah pada modul kamera hadapan yang boleh disembunyikan, seperti Vivo NEX. Malah, kamera hadapannya memiliki resolusi tertinggi, sebanyak 32MP. Untuk kamera belakang, V15 Pro dipasang tiga lensa iaitu lensa utama 48MP, lensa sudut ultra lebar 8MP dan pengesan tahap kedalaman 5MP.

Vivo V15

Vivo V15 pula ialah peranti yang kelihatan sama, tetapi dengan kuasa dikurangkan. Skrinnya juga sedikit berbeza, seluas 6.53-inci dari jenis LCD. Ia dikuasakan cip pemproses Mediatek Helio P70 dengan RAM 6GB dan storan 128GB.

Dengan skrin besar, ia dibekalkan bateri lebih besar 4,000mAh. Ia turut menyokong pengecasan pantas Vivo Dual-Engine melalui port mikroUSB. Satu lagi perbezaan ialah V15 menggunakan pengimbas capjari fizikal di belakang.

Modul kamera hadapan tersembunyi 32MP yang sama di V15 Pro, turut digunakan pada V15. Tetapi tiga kamera belakangnya sedikit berbeza. Lensa utamanya hanya 12MP dengan lensa kedua bersudut ultra lebar 8MP dan lensa ketiga pengesan tahap kedalaman 5MP.

BACA  Vivo S1 Pro: Maklumat Penjualannya Di Malaysia

Vivo V15 Pro akan dijual di Malaysia dengan harga RM1,799 bermula 2 Mac 2019, dengan dua pilihan warna, Topaz Blue dan Coral Red. Tempahan awal dibuka sekarang sehingga 1 Mac, menyediakan hadiah percuma untuk pembeli.

Vivo V15 pula tidak diumumkan lagi harga dan tarikh jualannya.

Pada 2 Mac kelak, Vivo akan mengadakan acara V15 Pro Superday Sale di Sunway Pyramid, di mana pengunjung terawal yang membeli Vivo V15 Pro, berpeluang untuk membawa pulang dron DJI Tello. Selain ini, orang ramai juga boleh mendapatkan Vivo V15 Pro menerusi program Digi Phone freedom 365.