fbpx

LG G8 ThinQ perkenal kamera hadapan unik dan lebih inovatif

Selain V50 ThinQ, LG turut melancarkan satu lagi telefon pintar kelas flagship, LG G8 ThinQ. Ia adalah telefon pintar biasa dari LG, dengan prestasi tertinggi untuk tahun 2019. Senjata rahsianya ialah kamera hadapannya yang digelar, Z Camera.

Spesifikasi LG G8 ThinQ nampak biasa. Ia dikuaskaan cip terbaru Snapdragon 855, RAM 6GB, storan 128GB dan tambahan kad mikroSD sehingga 2TB. Skrinnya 6.1-inci QuadHD+ dari jenis OLED FullVision, dengan takuk besar di dahi.

Untuk kamera belakang, ia memiliki tiga lensa iaitu lensa utama 12MP F1.5, lensa ultra lebar 16MP F1.9 dan lensa telefoto 12MP F2.4. Anihnya, terdapat versi dua kamera juga untuk LG G8 ThinQ, dikatakan untuk pasaran terpilih.

Baterinya sebesar 3,500mAh dan ia menyokong pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui USB-C. Ia juga kalis air dan debu IP68 serta menerima pengiktirafan ketenteraaan MIL-STD810G. Pengimbas capjari fizikal terdapat di belakang badan.

Kecanggihan LG G8 ThinQ ialah pada kamera hadapannya. Ia memiliki dua lensa dengan lensa pertama 8MP F1.7 dan lensa kedua pula ialah lensa Time of Flight (ToF) yang mengesan tahap kedalaman secara 3 Dimensi. Lensa ini dipanggil sebagai Z Camera.

Z Camera ini boleh digunakan dalam banyak perkara. Menariknya, ia boleh membuat imbasan biometrik menggunakan tapak tangan pengguna, dengan membuat pengecaman salur darah. yang payahnya, kena guna dua tangan nak buka kunci skrin. Satu untuk angkat telefon dan satu lagi untuk dikecam tangannya.

Dengan Z Camera juga, LG menambah fungsi Air Motion. Ia membolehkan pengguna memberi arahan kepada telefon pintar dengan melambai tangan. Antara yang boleh dilakukan seperti menjawab panggilan, menangkap screenshot, bertukar aplikasi atau menaikkan tahap bunyi.

BACA  Kembalikan kenangan Walkman bersama edisi terhad Walkman ulangtahun ke-40

Satu lagi fungsi Z Camera ialah pengecaman wajah. Dengan pengecaman wajah 3D, ia boleh mengecam wajah dengan lebih tepat dan tidak boleh ditipu oleh gambar 2 dimensi.

LG G8 ThinQ dipasang dengan sistem bunyi stereo di dalam skrin. Tiada lubang yang mengeluarkan bunyi sebaliknya ia dihasilkan oleh paparan OLED.

Terdapat satu lagi model yang lebih rendah kuasa diperkenalkan, iaitu LG G8s ThinQ. Skrinnya besar sikit, 6.2-inci tetapi resolusi lebih rendah HD Penuh sahaja. Masih menggunakan OLED serta takuk besar di atasnya.

RAM di dalam juga 6GB tetapi storan antara 64GB dan 128GB. Kamera juga sedikit berbeza iaitu lensa utama 12MP, lensa lebar 13MP dan lensa telefoto 12MP. Dua kamera hadapannya dikekalkan iaitu lensa 8MP dan lensa Tof Z Camera. Bateri 3,550mAh dipasang padanya.

LG masih belum mengumumkan harga untuk LG G8 ThinQ dan G8s ThinQ. Ia dijangka tidak jauh berbeza dengan Galaxy S10. Cuma, LG sudah lama tidak menjual telefon pintar di Malaysia, jadi ia mungkin tidak boleh dibeli di Malaysia. Melainkan ada yang cuba membawa set import dari luar.

Sememangnya LG G8 ThinQ adalah satu peranti yang menarik kerana LG cuba menjadi lain dari yang lain seperti penggunaan Z Camera. Tetapi ia kelihatan sangat tidak sesuai untuk digunakan secara meluas. Ada yang berminat?