RM2.32 juta kompaun dikenakan kepada telko Malaysia tahun ini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semakin tegas mengambil tindakan ke atas penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telko) di Malaysia menerusi penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). Ini boleh dilihat apabila sebanyak 63 kompaun berjumlah RM2.32 juta telah dikeluarkan tahun ini, sehingga Februari 2019.

Kompaun ini dikeluarkan berdasarkan kesalahan-kesalahan berikut:

  • Gagal mematuhi Standard Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) dalam rangkaian dan khidmat pelanggan.
  • Pendaftaran palsu.
  • Menurunkan bahan promosi pesaing.
  • Gagal berunding dengan pelanggan dan menangani aduan pengguna selari dengan MSQoS dan standard lain yang digariskan dalam AKM.
  • Gagal menangani permintaan pengguna untuk memindah nombor yang sama ke rangkain lain (MNP).

Ketegasan SKMM dapat dilihat apabila dibandingkan dengan tahun 2018, di mana SKMM mengeluarkan 77 kompaun berjumlah RM3 juta kepada telko di Malaysia. Dalam masa 2 bulan tahun ini, 63 kompaun telah dikeluarkan.

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, “Kami mahukan semua telko menyediakan perkhidmatan pelanggan yang unggul dan kami bertekad untuk memastikan telko sentiasa menawarkan perkhidmatan yang memuaskan. Amat penting untuk telko melaksanakan proses penambahbaikan yang berterusan dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pengalaman pelanggan, lantas mengukuhkan keyakinan dan kebolehpercayaan pelanggan terhadap industri ini. Sebagai pengawalselia, SKMM tidak akan berkompromi dengan mereka yang gagal untuk mengekalkan standard yang ditetapkan dalam AKM 1998, MSQoS dan Kod Pengguna Am.”

SKMM akan terus menguatkuasakan AKM 1998 untuk memastikan pengguna perkhidmatan komunikasi dan multimedia, diberi pilihan dan menerima perkhidmatan di tahap yang memuaskaan pada harga yang berpatutan, tambah Zulkarnain.

BACA  Moto G7 Power dengan tenaga 3 hari mula dijual di Malaysia

Orang ramai yang mempunyai masalah dengan telko, boleh membuat aduan kepada SKMM menerusi pelbagai saluran seperti emel ke [email protected], panggilan ke nombor hotline 1800-188-030, di akaun twitter @MCMCreact, WhatsApp ke nombor 016-2206262, atau ke mana-mana pejabat SKMM di seluruh negara.

[Sumber: SKMM]