fbpx

Remaja ditipu RM23 ribu kerana iPhone 8 percuma

Ditawarkan iPhone 8 percuma, seorang remaja perempuan berumur 18-tahun dari Seremban, telah ditipu wang tunai sebanyak RM23,000. Mangsa yang mahu dikenali sebagai Yong, menerima tawaran itu menerusi aplikasi permesejan WeChat.

Ia bermula dengan pengenalan dengan seorang pengguna di WeChat pada 26 Februari. Beliau kemudiannya menawarkan iPhone 8 percuma, jika mangsa berkongsi kod QR WeChat beliau kepada semua WeChat Groups mangsa.

Selepas mangsa berbuat demikian, pengguna tersebut meminta mangsa menghantar RM158 ke satu akaun bank untuk mendapatkan telefon tersebut, dan wang tersebut akan dipulangkan semula kemudian.

Tetapi ia tidak terhenti setakat itu. Pengguna tersebut terus meminta lagi wang dan menjanjikan ia akan dipulangkan selepas urusan penghantaran selesai.

Pada 1 Mac, pengguna tersebut mengatakan dengan wang itu, mangsa hanya akan mendapat skrin hadapan. Lebih banyak wang diperlukan untuk mendapat bateri, RAM dan cip pemproses.

Sehingga satu tahap, beliau meminta RM15,888 untuk bayaran pengurusan. Mangsa terus membayarnya kerana yakin wang tersebut akan dipulangkan. Wang sebegitu banyak diperolehi dengan meminjam dari pakcik mangsa.

Akhirnya, mangsa telah membayar sebanyak RM23,000 kepada pengguna WeChat tersebut. Bayaran terakhir dibuat pada 5 Mac. Tetapi tiada telefon diterima dan tiada wang dipulangkan.

Selepas itu, mangsa membuat laporan polis di Seremban. Mangsa kemudian membuat kenyataan media di Bahagian Aduan dan Khidmat Awam MCA. Ketua Bahagian, Datuk Seri Michael Chong mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran lumayan sebegini.

Chong berkata, beliau telah menerima beberapa laporan mengenai penipuan sebegini. Malah, keseluhan jumlah penipuan bernilai RM92,000 hanya untuk tahun ini.

Sebenarnya, taktik tawaran hadiah yang memerlukan bayaran pendahuluan sudah lama digunakan. Sebelum ini ia popular melalui hadiah gores dan menang. Tidak banyak yang berubah, cuma tawaran hadiah yang berbeza. Pemenang ditawarkan hadiah yang luar biasa tetapi perlu memberi sedikit wang. Kadang-kadang mereka terus hilang tetapi ada yang cuba meminta lebih banyak wang apabila mendapati mangsa begitu mudah diperdaya.

BACA  ZenFone 6 Ungguli Carta DxOMark Selaku Kamera Selfie Terbaik

Seperkara lagi, cara menang hadiah yang lumayan tanpa cara yang logik harus membuatkan kita lebih berwaspada. Ianya bukan peraduan yang jelas, malah dari orang yang tidak diketahui latar belakangnya. Paling mudah, perkara yang terlalu bagus untuk diterima, pasti ada sesuatu di sebaliknya. Jangan mudah gelap mata dengan tawaran percuma sebaliknya fikir masak-masak tentang apa yang berlaku.

[Sumber: The Star]