fbpx

Redmi 7 dan Redmi Note 7 Pro baru diumum di China

Selepas memperkenalkan Redmi Note 7, kini mereka tampil dengan versi lebih kecil, Redmi 7. Ia baru sahaja dilancarkan di China dan tiba bersama satu lagi model yang lebih berkuasa, Redmi Note 7 Pro.

Berbanding sebelumnya, Redmi 7 memiliki naik taraf pada hampir semua aspek. Diperkasa dengan pemproses kelas pertengahan, ia masih dijual dengan harga amat mampu milik, bermula dari RMB699 (~RM425) sahaja.

Kebiasannya bersaiz kecil, Redmi 7 kini datang dengan paparan besar 6.26-inci. Paparan ini bertakuk kecil di dahi dengan resolusi HD+ sahaja.

Cip pemproses Snapdragon 632 14nm menguasakan peranti ini di dalam dan bergandingan dengan pemproses grafik Adreno 506. Ia boleh didapati dengan RAM sehingga 4GB dan storan dalaman sehingga 64GB.

Untuk bergambar, Redmi 7 didatangkan dengan dua kamera belakang, lensa utama 12MP F2.2 dan lensa kedua 2MP untuk mengesan kedalaman. Kamera hadpaan pula 8MP dan terletak di dalam takuk.

Telefon ini menyokong dua kad sim serentak, dan memiliki slot kad mikroSD berasingan. Ia juga serasi digunakan bersama rangkaian LTE TDD dan FDD, termasuk VoLTE. Cuma, WiFi 5GHz tidak kelihatan pada senarai spesifikasinya.

Bateri di dalam Redmi 7 sebesar 4,000mAh dan dicas melalui port mikroUSB. Ia datang dengan pengecas biasa 5V2A. Badan belakang telefon ini melengkung dia kedua belah sisi dan memiliki pengimbas capjari di belakang.

Seperti Redmi Note 7, jaminan selama 18-bulan turut diberikan kepada Redmi 7. Di China, Redmi 7 dijual dengan harga dan spesifikasi berikut:

  • RAM 2GB + Storan 16GB – RMB699 (~RM425)
  • RAM 3GB + Storan 32GB – RMB799 (~RM485)
  • RAM 4GB + Storan 64GB – RMB999 (~RM607)

Yang menariknya, Redmi 7 telah kelihatan tersenarai di SIRIM. Bermakna, ia akan dijual di Malaysia tidak lama lagi.

BACA  Mi Note 10 telah ditemui dalam senarai SIRIM

Selain Redmi 7, satu lagi telefon pintar yang diperkenalkan dalam majlis pelancaran ini ialah Redmi Note 7 Pro. Peranti ini sama seperti yang dilancarkan di India di mana ia datang dengan cip pemproses Snapdragon 675 yang lebih berkuasa, bersama kamera belakang 48MP yang menggunakan sensor Sony IMX586, berbanding sensor Samsung GM1 di Redmi Note 7.

Redmi Note 7 Pro ini dijual di China pada harga RMB1,599 (~RM971) yang disertakan dengan RAM 6GB dan storan dalaman 128GB.