fbpx

OPPO F11 Pro tiba di Malaysia dengan kamera boleh sorok

Minggu ini penuh dengan pelancaran telefon pintar di Malaysia. Salah satu darinya ialah OPPO F11 Pro. Ia adalah telefon pintar nirbingkai nirtakuk, dengan kamera hadapan yang boleh disembunyikan.

OPPO F11 Pro ialah peranti kelas pertengahan dan dijual di Malaysia dengan harga RM1,399. Tempahan untuk peranti ini dibuka dari hari ini sehingga 29 Mac 2019 dan boleh dibuat di Stor Online Rasmi OPPO, Senheng, Shopee dan Lazada.

Tempahan awal juga boleh dibuat di Stor Konsep OPPO serta pengedar sah seperti Courts Mammoth dan AEON. OPPO F11 Pro akan dijual di Malaysia bermula dari 30 Mac 2019.

Hadiah percuma diberikan untuk tempahan awal, selagi stok masih ada. Hadiah tersebut berupa pembesar suara Bluetooth Olike, Baucer Petrol RM50, 1-tahun jaminan tambahan serta 1-tahun perlindungan skrin. Semua hadiah ini bernilai RM347.

Dua warna OPPO F11 Pro disediakan untuk pembeli iaitu Thunder Black dan Aurora Green. Warna-warna ini ialah gandingan tiga warna kemasan gradien yang berubah-ubah warnanya di seluruh badan telefon.

Untuk yang tidak kenal, OPPO F11 Pro memiliki skrin tidak bertakuk berukuran 6.5-inci dengan resolusi HD Penuh+. Di dalam, ia memiliki kuasa cip pemproses Mediatek Helio P70, dan datang bersama RAM 6GB dan storan dalaman 64GB.

Bateri sebesar 4,000mAh terdapat di dalamnya dan ia menyokong pengecasan pantas VOOC 3.0. Malangnya, ia masih menggunakan port mikroUSB, bukannya USB-C.

Spesifikasi kamera di OPPO F11 Pro agak menarik. Di belakang, ia menggunakan dwi lensa kamera. Lensa utamanya 48MP dengan lensa kedua 5MP. Ia dikatakan boleh menangkap gambar bercahaya malap dengan sangat baik.

BACA  Zenfone 6 sah akan menuju ke Malaysia tidak lama lagi

Untuk kamera hadapan, ia dilengkapi lensa 16MP di dalam modul kamera boleh sembunyi. Ia kelihatan sama seperti Vivo V15 tetapi di OPPO F11 Pro, modul kamera ini terletak di tengah, bukan di tepi.

Kenali OPPO F11 Pro lebih lanjut menerusi video penerangan oleh Hanif berlatarbelakangkan bandaraya Kuala Lumpur, di bawah ini.