SKMM & PDRM serbu 11 lokasi salah laku di media sosial

Warganet, pastikan anda berhati-hati dengan taipan yang dibuat di alam maya. Walaupun Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara, tetapi anda masih perlu bertanggungjawab terhadap akibat dari suara yang anda lontarkan.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan operasi serbuan dalam usaha untuk mengekang penyalahgunaan media sosial dalam negara.

Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Dato’ Mohd Shafie Harun, sebanyak 11 lokasi telah diserbu di seluruh negara iaitu:

  1. Putrajaya, Wilayah Persekutuan
  2. Petaling Jaya, Selangor
  3. Seberang Perai, Pulau Pinang,
  4. Simpang Ampat, Pulau Pinang
  5. Kerteh, Terengganu
  6. Kuala Dungun, Terengganu
  7. Pasir Puteh, Kelantan
  8. Kluang, Johor
  9. Indahputra, Johor
  10. Bachang, Melaka
  11. Masjid Tanah, Melaka

Dato’ Mohd Shafie Harun (tengah)

Katanya, kebanyakan kesalahan yang dilakukan suspek menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan terlarang seperti video lucah, penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) yang jelik dan menghina, serta kandungan mengancam dengan niat mengganggu dan menyakitkan hati orang lain.

Dalam serbuan tersebut, beberapa rampasan dibuat untuk siasatan lanjut seperti telefon pintar, kad sim, kad memori, komputer riba, dan cakera keras. Rakaman percakapan turut diambil daripada suspek.

Di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang untuk membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati atau menganggu orang lain.

Jika didapati bersalah, pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang menggunakan media sosial di negara ini digesa untuk mempertingkat kawalan kendiri di alam maya. Dato’ Shafie berpesan agar tidak menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan perkara sensitif yang boleh mengundang kemarahan orang awam.

BACA  Maxis umum tawaran istimewa Huawei P30 bermula 6 April

Ingat, terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata di media sosial, dirakam skrin buruk padahnya.

[Sumber: SKMM, Malay Mail]