Apple TV+, servis strim TV baru yang tidak terhad pada produk Apple

Majlis pelancaran produk baru Apple di Cupertino awal pagi ini tidak memperlihatkan sebarang produk fizikal, sebaliknya Apple melancarkan tiga servis baru. Salah satu darinya ialah Apple TV dan TV+.

Aplikasi Apple TV telah sedia ada buat semua pengguna produk Apple, tetapi ia akan ditambah dengan saluran baru dari pihak ketiga. Ia membolehkan pengguna melanggan terus saluran lain secara terus dari dalam Apple TV.

Antara saluran yang akan disediakan ialah HBO, Showtime, Starz, CBS All Access, dan Smithsonian Channel. Ia termasuk juga Amazon Prime, Hulu dan EPSN+. Dengan ini, pengguna tidak perlu memuat turun aplikasi lain, semuanya boleh dilanggan dan ditonton dari Apple TV. Netflix lebih awal menafikan penglibatannya dengan Apple TV.

Servis baru Apple TV ini akan boleh digunakan bermula bulan Mei akan datang. Bagaimanapun, Apple tidak menyatakan berapakah kadar langganannya.

Seterusnya, Apple mengumumkan servis strim tv online baru mereka, Apple TV+. Ia akan menyiarkan kandungan buatan Apple sendiri.

Untuk menghasilkan kandungan ini, Apple telah bekerjasama dengan lebih 30 produksi filem dan tv. Selain itu, Apple juga telah mendapatkan khidmat selebriti terkemuka untuk kandungan di Apple TV+.

Beberapa selebriti ini turut hadir di pentas pelancaran untuk berkongsi rancangan mereka akan datang. Antaranya ialah Steven Spielberg, Reese Witherspoon, Steve Carrell, Oprah Winfrey dan Jennifer Aniston.

Servis Apple TV+ akan menemui pengguna bermula bulan September dan sekali lagi, Apple tidak menyatakan berapakah kadar langganannya.

Aplikasi Apple TV boleh digunakan di iPhone, iPad dan Set-Top-Box (STB) Apple TV. Aplikasi untuk komputer Mac akan tiba pada bulan September.

BACA  Redmi Note 7 Pro tidak akan datang ke Malaysia

Menariknya, beberapa produk bukan Apple akan turut boleh menggunakan aplikasi Apple TV. Antaranya TV Pintar keluaran LG, Samsung, Sony dan Vizio. Ia juga akan terdapat di STB Raku dan Amazon.

Apple TV+ dikatakan akan terdapat di lebih 100 negara kelak. Jika begini, ada harapan pengguna di Malaysia juga akan dapat menikmatinya. Adakah ia dapat mencuri pelanggan Netflix yang telah lama bertapak di Malaysia?