fbpx

Pengguna Twitter di iPhone boleh jimat lebih tenaga dengan Lights Out

Twitter hari ini mengumumkan satu fungsi lama yang telah diperbaharui untuk memberikan lebih pilihan kepada pengguna. Sebelum ini dikenali sebagai Night Mode, kini ia diperluaskan lagi menjadi Dark Mode.

Diperkenalkan sejak 2016, Night Mode di Twitter menukar warna latar ikonik biru Twitter kepada warna kelabu gelap. Dengan kemaskini baru ini, Night Mode kini dikenali sebagai Dim, dan ditambah satu lagi fungsi dipanggil Lights Out.

Lights Out ialah tema berwarna hitam sepenuhnya, bukan sekadar kelabu. Fungsi ini boleh menjimatkan tenaga untuk peranti dengan skrin OLED, kerana warna hitam di skrin dihasilkan dengan mematikan piksel sepenuhnya. Piksel yang mati tidak memerlukan tenaga, jadi ini boleh memanjangkan hayat bateri. Antara peranti yang menggunakan skrin OLED ialah seperti iPhone X dan XS.

Dim (kiri – kelabu gelap) dan Lights Out (kanan – hitam)

Jika ada pengguna yang selesa menggunakan Dim di waktu malam dan antaramuka biasa di waktu siang, fungsi Automatic Dark Mode boleh membantu menukar tetapan secara automatik. Ia akan mengenal pasti zon masa pengguna dan menukarkan antaramuka Dim dan Normal mengikut masa siang dan malam.

Buat masa ini, fungsi Dim dan Lights Out terdapat di aplikasi Twitter di iOS sahaja. Aplikasi Android dan pelayar web akan dikemaskini di masa akan datang.

Semakin banyak aplikasi mudah alih memperkenalkan tetapan Dark Mode kerana ia boleh menjimatkan bateri di peranti dengan skrin OLED, di samping mengurangkan tekanan di mata apabila menatap skrin peranti di persekitaran malap atau malam hari.

BACA  Apple pertimbang untuk pilih Malaysia sebagai lokasi pemasangan di luar China

[Sumber: Wired]